Sanggar Pendeta, Langgar Pujangga

"Diabadikan buat seorang Perani, gadis Temasek (mungkin berketurunan Bugis). Gadis yang merayau-rayau di pulau Singa itu berjiwa singa dan berani mengaumkan suaranya, mencabar ego setiap kaum laki-laki yang seharian resah mengusung derita ke hulu ke hilir tanpa hentinya." --- H Fansuri, (1977 - 20??) - ibnuamir@yahoo.com.


YB pentingkan rakyat atau diri sendiri? (Detik Daily)

Oleh H Fansuri

Malam ini, debat Hujah di TV9 itu dipengerusikan Dr Agus sebagai biasa, dengan penuh kenakalan pertanyaan, kenapa wakil rakyat pentingkan diri sendiri? Agus turut bertanya betapa sukar mendapatkan bantuan biasiswa dan subsidi hingga terpaksa mengisi borang pengesahan daripada wakil rakyat.

Panelis semalam-Kayveas dan Annuar Musa. Annuar menepis dakwaan Agus: “Saya rasa persepsi tuan itu tidak betul. Itu anggapan tuan seorang saja iaitu wakil rakyat pentingkan diri sendiri. Anggapan itu tidak mewakili pandangan majoriti orang ramai.”

Demikian cara orang politik mengelak, iaitu dengan menyatakan bahawa andaian kita itu adalah anggapan kita saja. Daripada cara Annuar berhujah, saya menemukan sikap beliau yang menafikan pandangan minoriti yang membuat tuntutan.

“Yang ada cuma dua tiga orang yang tubuhkan persatuan lalu mereka ni bising sedunia,” kata beliau. “Ini selalu berlaku dalam mana-mana perkumpulan.”

Antara lain, Kayveas dan Annuar seolah-olah bersepakat bahawa rakyat tidak memahami antara bebanan tugas agensi kerajaan (seperti PBT - Pihak Berkuasa Tempatan) dan wakil rakyat. “Lampu neon depan rumah tak menyala pun saya kena selesaikan,” kata Kayveas.

“Dalam negara kita, wakil rakyat itu menjadi Pegawai Perhubungan Awam,” kata Annuar sambil menyetujui sekali gus menyokong pandangan Kayveas.

Hendak disalahkan rakyat 100 peratus dalam hal ini tidak boleh. Kebodohan bukan suatu jenayah dalam negara ini. Tiada orang akan dipenjarakan dan dihukum denda wang kalau mereka bodoh menilai. Menjadi tanggungjawab kerajaan dan penguasa yang cerdik untuk mendidik rakyat untuk jadi pandai. Kenapa rakyat tidak dilatih melalui media kerajaan?

Penguasa yang cerdik tidak akan mencemuh rakyat dengan kata bodoh. Hanya penguasa yang bodoh akan bersikap mencemuh sedemikian.

Bagaimana contoh kepemimpinan yang bodoh? Contohnya, Annuar dalam kenyataannya semalam telah menyesali Kerajaan Negeri Kelantan yang mengabaikan kebajikan belasan ribu rakyat miskin di negeri tersebut. Tapi, siapa yang menggelapkan wang PPRT, projek perumahan untuk rakyat termiskin?

Dalam hujahnya, Annuar mempunyai gaya fikir yang menyatakan sikap ‘tidak apa’ kalau seseorang Adun itu tidak membantu orang miskin yang tidak diketahui mereka. Terlepas pandang ke atas kemiskinan orang miskin itu tadi seolah-olah tidak menjadi apa-apa.

“Kita bukan tidak peduli, tapi kita tidak tahu. Selepas media menyiarkan keperitan hidup mereka, kita akan turun padang menawarkan bantuan,” hujah Annuar membela diri.

Pemikiran semacam ini tidak bertolak daripada pemikiran Islam. Dalam pemikiran agama kita, hak ke atas zakat itu adalah milik orang miskin yang terpecah kepada dua – iaitu as-Sail dan al-Mahrum. --- ‘wa fi amwalihim haqqun lis sail wal mahrum’ (al-Qur’an)

As-Sail adalah mereka yang miskin dan meminta-minta rayuan agar orang menolongnya. al-Mahrum adalah si miskin yang mengharamkan diri mereka daripada sebarang bantuan.

Tapi di akhirat kelak jika al-Mahrum ini mendakwa di depan Allah bahawa khalifah tidak membantunya, maka khalifah itu tetap terhukum. Khalifah tidak boleh berhujah: “Macam mana saya mahu bantu dia? Dia sendiri tidak menemuiku untuk meminta bantuan.”

Hujah ini tertolak dengan sendirinya. Sebab, alasan itu tertolak dengan firman Tuhan tadi iaitu bantuan itu wajib diberi kepada si miskin yang meminta dan yang enggan meminta. Kerana risau terhadap golongan al-Mahrum ini, Umar dan Ali sanggup bersengkang mata mengendong gandum ke rumah si miskin dalam kalangan balu, janda dan ibu tunggal.

Maknanya sikap diam golongan al-Mahrum ini tidak boleh dijadikan alasan oleh khalifah untuk melepaskan dirinya daripada bebanan tanggungjawab. Ini jawapan kepada Annuar jika beliau masih berasa selamat dengan status wakil rakyat yang tidak tahu ada si miskin yang tidak meminta kefakirannya ditampung melalui bantuan zakat daripada Baitul Mal.

Oleh itu, tugas utama Adun bukan menghadiri upacara program perasmian, pecah tanah, dan merasmikan majlis-majlis anjuran pihak-pihak tertentu di kawasannya. Beliau mesti mengutamakan mesyuarat bersama ahli karyah ingin bertemu dengannya. Adun terbaik adalah mereka yang memperuntukan masa khas untuk menemui orang yang perlukannya.

Wakil rakyat kena ada blog dalam zaman internet dan ICT, dan mereka harus membawa PDA ke mana-mana supaya mereka dapat akses kepada blog mereka sendiri. Kalau lihat di Barat, wakil rakyat ada laman web. Perkara ini Annuar dan Kayveas perlu lakukan jika mereka ingin mencapai darjat makam pemikiran pemimpin kelas pertama.

Biarlah mereka dan rakan mereka akan menjadi pemimpin kelas pertama yang memimpin negara dunia ketiga untuk jangka masa terdekat ini.

2:30 pagi, 31 Oktober 2007
Sekolah Pemikiran Kg. Baru

http://wakalah.blogspot.com
(Sumber: Hujah, TV9, 30 Oktober 2007)

1 Responses to “”

  1. # Anonymous Anonymous

    sendiri dulu kena penting dan selamat, baru la boleh jaga rakyat,, hu  

Post a Comment


© 2006 Sanggar Pendeta, Langgar Pujangga | Blogger Templates by GeckoandFly.
No part of the content or the blog may be reproduced without prior written permission.
Learn how to make money online | First Aid and Health Information at Medical Health