Sanggar Pendeta, Langgar Pujangga

"Diabadikan buat seorang Perani, gadis Temasek (mungkin berketurunan Bugis). Gadis yang merayau-rayau di pulau Singa itu berjiwa singa dan berani mengaumkan suaranya, mencabar ego setiap kaum laki-laki yang seharian resah mengusung derita ke hulu ke hilir tanpa hentinya." --- H Fansuri, (1977 - 20??) - ibnuamir@yahoo.com.



8:52 malam, 3 Ramadhan bersamaan 26 September,

Salam tuan,

Di dalam Buletin Utama, TV3 tadi, saya melihat tuan berjabat tangan dengan dua orang bakal angkasawan negara. “Jangan lupakan Gusti Alloh,” demikian tajuk beritanya. Ada lojiknya juga, sebab kedua-duanya Muslim. Kalau kedua-dua bukan Muslim bahkan free-thinker, mungkin ucapan yang mengiringi pemergian mereka berlainan pula.



Menurut laporan tadi, mereka dijadualkan akan diterbangkan malam ini ke Rusia kira-kira jam 11.00 malam, waktu tempatan. Jadinya, dua jam dari sekarang, eloklah kita berbual-bual sekejap. Itu pun kalau tuan mahu membacanya.

Rusia pernah dikalahkan Jepun dalam Perang Dunia Kedua. Hal inilah yang telah membangkitkan gelora semangat penduduk peribumi yang terjajah supaya segera bangkit menentang British. Termasuk dalam kalangan orang Melayu pada masa itu, ialah Ibrahim Haji Yaakob. Errr… saya tidak berniat memanjangkan syarahan sejarah kepada tuan.

Mestilah tuan tahu banyak perkara berhubung sejarah negara pada masa yang lalu. Cuma, saya tertanya-tanya, bagaimanakah caranya negara-negara ini membangun setelah kejatuhan mereka. Setelah Rusia kalah di tangan Jepun akhirnya mereka boleh membawa rakyatnya ‘mikraj’ ke bulan (atau angkasa??)

Jepun pun begitu. Setelah alah dalam siri pengeboman di Hiroshima dan Nagasaki oleh pengeboman Amerika, mereka bangun sebagai gergasi ekonomi. Kedua-dua negara ini yang pernah menderita kekalahan, lalu dipungut oleh Amerika – Britain sebagai rakan mereka dalam Majlis Keselamatan PBB.

Saya tak tahu, adakah bacaan-bacaan politik seperti ini turut terakam dalam kotak rangka fikiran Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan. Kedua-dua negara besar ini, pernah berdepan dengan ancaman Amerika dalam pelbagai bentuk.

Dalam satu makalah, Jepun setelah kejatuhannya, telah dibuat perlembagaan baru oleh Amerika yang menafikan hak negara itu untuk membina pasukan tenteranya. Tetapi, sejak kehadiran orang baru, pasca-Koizumi, saya lihat dalam suatu laporan berita, seolah-olah pasukan tentera dibenarkan untuk dibina semula. Berhenti sekejap ya tuan. Saya ada hal sebentar. Jam kini, sudah menunjukkan pukul 9:27 malam.


Tuan,

Sekarang jam 1:06 pagi. Sudah 4 Ramadhan. Saya rasa kedua-dua angkasawan itu telah di’isra’kan pada 11 malam tadi ke bekas negara Komunis jika tiada ribut menyerang sang pesawat. Menurut laporan, mereka di’isra’kan setahun untuk menimba ilmu angkasa sebelum di’mi’rajkan ke langit.

Saya teringatkan catatan dalam al-Quran, bahawa Nabi Muhammad bukan terus dinaikkan (mi’raj) ke langit, melainkan Baginda pergi bersolat dahulu di Baitul Muqaddis di waktu malam atau (isra’).

Jazirah Arab berjiran dengan benua Afrika. Palestin (Baitul Muqaddis) terletak di utara Afrika. Ertinya, Rasulullah isra’ (berjalan malam) ke Palestin dan bergerak ke utara, sebelum dimikrajkan. Angkasawan kita melakukan isra’ ke utara juga malam ini. Hanya, kita tidak tahu lagi, sama ada mereka mampu meneruskan misi agama atau misi negara?

Tapi, kalau tuan sudah berpesan kepada mereka supaya selalu ingatkan Allah, jadi semoga agenda kita berhasil mendapat keberkatan Gusti Alloh hendaknya. Cuma, mereka bukan mencari pedoman di langit lagi, sebab wahyu Allah sudah lama turun menghiasi di bumi. Saya fikir, kita perlu memberi perhatian serius dalam hal ini.

Selama ini, kita naik berulang-kali ke Gunung Everest atas tujuan apa? Mencari nama untuk negara atau tujuan agama? Nabi-nabi dahulu, di awal-awal kerasulan mereka, pernah mendaki bukit-bukau sebelum diangkat sebagai rasul.

Nabi Muhammad s.a.w berkhalwat di Gua Hira’ di Bukit Thur, lalu baginda pun didatangi wahyu bersama Jibril. Nabi Musa, ketika mengambil api yang marak di puncak Bukit Thursina lalu Baginda menerima perintah solat pada saat itu juga. Begitulah wahyu yang turun di puncak bukit guna menyampaikan petunjuk kepada insan agar lebih bersifat manusiawi adanya. Tetapi, Nabi Muhammad mendapat sedikit kelebihan.

Perintah solat didapatinya bukan di bukit, tapi di langit ketika isra’ mi’raj berlaku. Kemudian, dalam perjalanan pulang, berulang-kali pula terserempak dengan Nabi Musa, lalu tinggallah lima solat yang diwajibkan saja, ekoran nasihat Nabi Musa dan rundingan Nabi Muhammad dengan Allah s.w.t sendiri.

Jadi, saya fikir kita perlu jelas. Kita berjaya merentasi dan merenangi lautan Selat Inggeris sekali pun, atas tujuan agama atau negara? Bandingkan dengan perintah Allah ke atas Nabi Musa a.s yang memimpin Bani Israel merentasi Laut Merah, agar mereka bebas daripada himpitan kehidupan di bawah bumbung pemerintahan Fir’aun yang maha zalim.

Banyak perkara yang perlu kita perhalusi supaya tindakan kita bernilai amal soleh dan bukan niat menunjuk-nunjuk. Tidak sikit wang rakyat ditumpahkan dalam urusan ini.


Tuan,

Ahli falsafah Muhammad Iqbal pernah melontar hikmah pujangga. Kalau bacaan dan perhitungan saya tidak tersasar, lebih kurang begini madahnya, “bahawa pada langit dan dalam diri manusia itu, ada sumber-sumber ilmu pengetahuan.” Maulana Iqbal ketika membariskan ungkapan ini, beliau merujuk kepada suatu ayat al-Quran. Saya sendiri lupa di mana letaknya ayat dan surah itu. Nantilah saya rujuk semula, insya Allah.

Pada kedua-dua hal ini (langit, jiwa insan) ada ilmu yang boleh kita kembangkan. Justeru, lahir ilmu Astronomi dan Psikologi. Di samping itu, ada lagi dalam diri manusia yang belum diteroka Barat. Seingat saya, ilmuan Islam yang perkenalkan teori peredaran darah yang antaranya menjadi asas kepada pertumbuhan ilmu kedoktoran di Barat.

Kini, dimensi ilmu perubatan itu merekalah yang menguasainya. Demikian halnya dengan ilmu kaji bintang, Astronomi ini. Saya tertanya-tanya, apakah yang boleh mereka teroka di langit? Hal itu masih menimbulkan kesangsian di hati saya. Ketika ditemubual di tv bersama Dato’ Jamaludin Jarjis dulu, saya terdengar salah seorang daripada mereka berkata, bahawa mereka ingin mengkaji kehidupan bateria dan virus di angkasa lepas.

Mungkin ada perbezaannya sebab di angkasa tiada udara. Saya fikir menarik juga. Tapi, saya lebih tertarik dengan laporan yang selalu digembar-gemburkan oleh Barat ini, mengenai sebutir meteor yang akan turun menghempas bumi dalam tahun ____??

Benarkah ia hadir? Harapan saya, tuan dapat membisikkan ke telinga mereka agar laporan mengenainya dapat dikeluarkan. Maksud saya, mereka tak boleh berharap kepada kajian saintis Barat. Kalau boleh, hasil cerapan data itu memang datang daripada mereka, tanpa bantuan saintis daripada negara lain.


Tuan,

Oleh kerana tema perbualan ini segala-galanya adalah mengenai perang, maka tak dapat tidak, saya mesti menumpukan kepada perang juga akhirnya. Berdasarkan fahaman tradisi Judeo-Kristian, kiamat tiba dengan kehadiran sebutir bintang. Tragedi itu dikenali sebagai Armageddon. Ia telah pun difilemkan. Babak-babak mengenai saintis Barat telah menemui meteor itu telah dirakamkan. Tuan boleh saksikan sendiri filem tersebut.

Menurut scriptures, bintang itu akan jatuh menghempas bumi ketika dunia sedang huru-hara dengan peperangan. Saya rasa situasi sekarang ini pun memang kritikal dengan peperangan juga. Malah, Bush dalam komentarnya pernah menyebutkan bahawa generasi kini bakal menyaksikan Armageddon. Entah betul atau tidak, wallahu ta’ala ‘alam…

Sebelum berundur, izinkan saya membariskan beberapa ayat-ayat al-Quran untuk kita semak bersama-sama. Ada antaranya yang terkait dengan peperangan. Ada juga yang terkait terhadap dimensi kehidupan manusia lain – mungkin ekonomi, pendidikan, politik dan sebagainya.

Pada surah al-Baqarah, setelah ayat 29 dan 30 yang sempat kita bualkan baru-baru ini, kita boleh meneliti sekejap kepada ayat 36, 67, 76, 78, 84, 88, 91, 98, 102, 104, 108, 109, 112, 115, 116, 120, 123, 126, 128, 129, 132, 133.

Sekian dengan itu, minta maaf sekali lagi jika ada kekasaran kata-kata dan bahasa. Hendaklah sentiasa diingat, coretan ini bukannya mengajar sesiapa, malah untuk mengisi keperluan saya sendiri yang sentiasa kekontangan ilmu.

Jikalau tuan melihat saya mengajar, kuburkanlah perasaan itu. Kerana tujuan saya mencoret rakaman fikiran di sini hanya semata-mata berbual di samping mempamerkan kebodohan saya sendiri adanya. Sekian dengan itu, wassalam …


Sekolah Pemikiran Kg. Baru,
4 Ramadhan, 27 September.
2:28 p.m.

Gilapan pertama – 10:43 malam, 4 Ramadhan 1427.

--- TAMAT ---

0 Responses to “”

Post a Comment


© 2006 Sanggar Pendeta, Langgar Pujangga | Blogger Templates by GeckoandFly.
No part of the content or the blog may be reproduced without prior written permission.
Learn how to make money online | First Aid and Health Information at Medical Health