Sanggar Pendeta, Langgar Pujangga

"Diabadikan buat seorang Perani, gadis Temasek (mungkin berketurunan Bugis). Gadis yang merayau-rayau di pulau Singa itu berjiwa singa dan berani mengaumkan suaranya, mencabar ego setiap kaum laki-laki yang seharian resah mengusung derita ke hulu ke hilir tanpa hentinya." --- H Fansuri, (1977 - 20??) - ibnuamir@yahoo.com.



Sekitar 11.00 malam,

29 Shaaban 1427 bersamaan 23 September 2006,

Salam tuan,

Kita sambung semula bualan kita semalam. Ia berkenaan perang dan peperangan. Tetapi, saya rasa teringin berbual pula mengenai sebuah filem yang sedang saya tonton sekarang di TV2. Entah apa tajuknya saya tidak tahu. Cerita mengenai wartawan penyiasatan. Saya memang suka cerita seperti ini.



Oh, baru saya tahu. Tajuk filem itu ialah The Pelican Brief. Selepas iklan tadi, baru saya nampak tajuknya. Gray Grantham (Denzel Washington) adalah wartawan penyiasatan di akhbar Washington Herald manakala Darby Shaw (Julia Robert) peranannya lebih kurang macam Deep Throat dalam All The President's Men yang menjadi ‘informer’ Woodstein (Bob Woodward dan Carl Bernstein) of Washington Post.

Lebih kurang sama jalan ceritanya. Ada skandal membabitkan Rumah Putih dan Presiden Amerika. Nantilah, kalau ada masa saya bercerita mengenai kisahnya. Mungkin saya cuba mencari DVD untuk memahamkan jalan ceritanya nanti, insya Allah.

Saya melihat perang dan peperangan ini di dalam konteks yang lebih luas. Kita berperang bukanlah semata-mata berbekalkan pedang, bambu yang menikam dada hingga terpercik darah dan luka-luka. Tetapi, media dan akhbar juga adalah senjata - alat propaganda yang ampuh juga. Jika tidak, kenapa British menggunakan media untuk memerangi komunis?

Dalam suatu laporan Bernama, saya telah membaca kenyataan seorang panglima tentera Amerika yang pernah bertugas dalam tentera British di Malaya dulu. Kata beliau, British berjaya memerangi Malaya hasil kemenangan propaganda. British berjaya memujuk serta meyakinkan penduduk Malaya khasnya orang Melayu bahawa British adalah penyelamat mereka ketika usaha-usaha memerangi komunis sedang giat dijalankan.

Jadi, propaganda itu adalah satu senjata. Ertinya, dalam kita berbual mengenai perang ini, jangan kita menoleh kepada M-16, Scud dan kereta kebal semata-mata. Media juga perlu kita sentuh dalam bualan panjang kita ini.


Tuan,

Sekarang masuk 1 Ramadhan. Jam sudah 12:28 pagi. Sambil menaip, saya menonton tv. Dalam sejam setengah, sepatutnya saya menulis entah beberapa perenggan. Tetapi, dalam leka menonton, hanya enam perenggan di atas saja yang mampu saya taipkan.

Tadi, saya menyelak sedikit lembaran al-Quran. Tiba pada ayat 29 surah al-Baqarah, saya terfikir mengenai ayat ini. Disebutkan mengenai Tuhan menciptakan segalanya yang ada bumi untuk manusia. Kemudian Tuhan ‘istiwa’ ke langit.

Ketika di langit itulah, (pada ayat 30 seperti yang kita bualkan semalam) Allah berfirman kepada semua isi langit bahawa Dia mahu mencipta Khalifah di atas muka bumi. Apakah Tuhan sudah berniat terlebih dahulu berbuat segala-galanya di bumi, kemudian baru Dia ‘istiwa’ ke langit untuk menghebahkan kedatangan insan sebagai Khalifah itu?

Entahlah… saya menulis ini kerana menuntut jawapan dan pandangan tuan. Hingga kini, saya masih berpendapat demikian. Ertinya, Tuhan telah berbuat ‘sesuatu’ terlebih dahulu di bumi untuk mengisi keperluan insan (Khalifah) yang diciptakannya. Kemudian, setelah Allah selesai bekerja, maka barulah Dia menghebahkan kedatangan kita kepada semua isi langit. Saya rasa, memang ada pertalian antara ayat 29 dan 30 itu. Tuan fikir bagaimana?

Kalau begitu, memang sejak awal lagi Allah s.w.t telah berniat meletakkan umat manusia di dunia ini. Bahkan, dalam ayat 30 tadi pun Tuhan telah menyebutkan, “Khalifah di atas bumi.” Saya berbual begini kerana ada orang berkata, “Kalau Adam dan Hawa tak makan buah khuldi itu, nescaya keturunan manusia akan terus-menerus berkekalan di syurga.”

Tetapi, dalam ayat berikutnya, Allah ada memperincikan drama sengketa antara Iblis dan Adam. Pujuk-memujuk, cumbu rayu berlaku. Tipu daya hasutan syaitan akhirnya berjaya mengheret Adam dan Hawa ke lembah maksiat yang pertama.

Setelah itu Allah s.w.t merakamkan dialognya: “… Turunlah kamu! Sebahagian kamu menjadi musuh bagi yang lain, dan bagi kamu ada tempat kediaman di bumi, dan kesenangan hidup sampai waktu yang ditentukan.” (al-Baqarah: 36)

Dalam ayat di atas, disebutkan istilah ‘musuh’. Drama permusuhan dan persengketaan ini nampaknya tidak sesuai dilakonkan di dalam syurga. Mungkin, dunia itulah tempat sesuai untuk ‘berperang’. Nampaknya, slogan sesetengah NGO untuk mewujudkan dunia aman tanpa peperangan itu perlulah dikaji semula dan disesuaikan dengan nilai agama adanya.

Akan tetapi, kalau dilihat pula dalam ayat itu, Tuhan menurunkan umat manusia ini untuk mereka mereka mendapat kesenangan seperti yang difirmankan Tuhan dalam ayat di atas. Lalu terbatal paradigma dan pandangan yang menyatakan - insan hidup di dunia ini untuk menghirup nafas penderitaan yang diciptakan Tuhan untuk manusia seluruhnya.

Jika diukur pada garis rasional dan lojik akal, mustahil Tuhan mencipta derita di dunia ini untuk insan. Pertama, bukankah Allah bersifat Maha Pengasih dan Penyayang? Hanyalah si penzalim yang suka menindas orang. Di dalam sebuah hadis qudsi Allah sendiri pernah menyatakan bahawa Dia mengharamkan sifat zalim ke atas diriNya.

Kedua, kalau disukat dengan nas lain–kenapa Tuhan tidak mencipta derita di dunia, maka dalam ayat 29 tadi pun sudah disebutkan bahawa Allah telah menciptakan segala-galanya di bumi untuk mengisi keperluan Khalifah terlebih dahulu sebelum perisytiharan manusia itu disebutkan dalam ayat 30.

Sudah tentu Dia mencipta pelbagai kemudahan dan perlindungan untuk manusia di dunia ini sebagai tempat persinggahan mereka sebelum kekal menginap di akhirat yang kekal abadi. Seperti juga tempat persinggahan hotel dan rumah tumpangan, tentulah pemiliknya akan menyediakan pelbagai kemudahan kepada sang pengembara.

Jadi, derita yang wujud di dunia ini tercetus akibat kesan emosi insan yang tidak terkawal hingga mewujudkan pelbagai kesengsaraan seperti perang yang mengakibatkan penyakit, kebuluran dan sebagainya. Pendek kata, Tuhan tidak boleh dipersalahkan oleh manusia.

Wallahu Ta’ala ‘Alam. Entah betul entah tidak pandangan agama ini saya sendiri pun jadi khuatir untuk berbual mengenainya. Akhir-akhir ini pandangan agama saya menjadi ‘liar’ dan bertentangan dengan nilai serta pegangan lama saya dulu masih belajar.

Kalau Imam as-Shafie ada ‘qaul qadim’ dan ‘qaul jadid’. Tapi, hal itu tidak apalah. Sosok itu bukanlah calang-calang orang. Jadi, saya menulis begini agar tuan dapat membatalkan mana-mana pandangan saya yang silap dan salah ini adanya.

Azan Subuh telah berlalu. Jam menunjukkan 6.30 pagi. Janji saya terhadap tuan bahawa saya akan mengulas tulisan Usman Awang bertajuk ‘Manusia dan Perang’ itu tidak dapat ditunaikan lagi. Asyik berbual mengenai ayat al-Quran di atas, membuatkan diri teralpa.

Dalam bualan lain, insya Allah akan saya garis bawahkan beberapa potongan dan ceraian ayat al-Quran yang sempat saya tulis baru-baru ini sebagai bahan mengisi bualan di bulan Ramadhan yang mulia ini. Bukan niat mengajar. Hanya berbual dan bertukar pandangan.

Sekian, wassalam…

Sekolah Pemikiran Kg. Baru,
2 Ramadhan 1427 bersamaan 25 September 2006.
6:42 pagi.

Gilapan pertama, 2 Ramadhan 1427, 9:40 malam.

0 Responses to “”

Post a Comment


© 2006 Sanggar Pendeta, Langgar Pujangga | Blogger Templates by GeckoandFly.
No part of the content or the blog may be reproduced without prior written permission.
Learn how to make money online | First Aid and Health Information at Medical Health