Sanggar Pendeta, Langgar Pujangga

"Diabadikan buat seorang Perani, gadis Temasek (mungkin berketurunan Bugis). Gadis yang merayau-rayau di pulau Singa itu berjiwa singa dan berani mengaumkan suaranya, mencabar ego setiap kaum laki-laki yang seharian resah mengusung derita ke hulu ke hilir tanpa hentinya." --- H Fansuri, (1977 - 20??) - ibnuamir@yahoo.com.



7.30 malam, 6 Ramadhan bersamaan 29 September.

Salam tuan,

Sedang menaip ini, saya tengah menyuap juadah ke mulut untuk membatalkan puasa hari ini. Tadi, sempat saya mengikuti dokumentari Jejak Rasul terkini. Apa-apa yang disajikan dalam dokumentari itu, ada kaitan dengan apa-apa yang pernah kita bualkan sebelum ini.



Perjalanan ke Taif bersimbah darah, lalu Rasulullah berhenti di satu tempat dan akhirnya ada malaikat menjelma menawarkan diri untuk menghempapkan dua buah bukit ke atas penduduk Taif yang mencederakan nabi dengan batu itu.

Naluri ingin membalas kejahatan hadir di dalam jiwa malaikat. Pandangan yang tersebar dalam masyarakat, bahawa kaum malaikat ini tidak suka melihat pertumpahan darah ada benarnya daripada suatu segi. Jadi, jika ada segolongan manusia yang tidak suka melihat darah tertumpah, hakikatnya jiwa malaikat dalam diri mereka itulah yang membencinya.

Tapi, saya melihat pertumpahan darah itu juga adalah sebahagian daripada jiwa malaikat dalam jiwa insan. Bukankah jiwa insan itu adalah jalinan akrab yang tergabung daripada jiwa haiwan dan malaikat?

Haiwan makan menggunakan kuku, taring dan sebagainya. Manusia juga makan. Tetapi, oleh kerana ada jiwa malaikat yang bersandar di balik jiwa, maka haiwan berdarah telah ditumpahkan darahnya di atas kalimah basmalah. Lalu, dimasak penuh beradat. Dicicah sambal tumis dan disulam ulam-ulaman dan buah-buahan pula. Jika haiwan biasa, mana ada adat dan adab bersantap sedemikian rupa?

Malaikat tidak suka pertumpahan darah akibat dendam, dengki, khianat dan pelbagai rasa yang tak sepatutnya berkubang di lubuk jiwa insan. Malaikat akan menumpahkan darah dengan sebab arahan Allah untuk membantu kaum Muslimin di medan perang. Saya berhenti sekejap tuan. Insya Allah, nanti saya sambung semula.

10.00 malam.


Tuan,

Kini, saya boleh mengarang semula. Merujuk kisah Taif tadi, saya tertarik dengan cerita Addas of Niniveh yang berjumpa Rasulullah s.a.w selepas dakwahnya tidak berjaya. Jika tidak silap saya, nama perkampungan Addas itu ialah Niniveh.

Rasulullah s.a.w terus berkata, “Bukankah itu tempat saudaraku Yunus bin Matta?” Lalu, dipendekkan cerita, setelah berbual lama, Addas terus memeluk Islam apabila menyedari manusia yang ditemuinya itulah rasul yang dijanjikan.

Niniveh itu tempat lahirnya agama nabi Yunus. Yunus, dalam Bible bernama Jonah kalau tidak silap ingatan saya. Saya kurang pasti, adakah Yunus tergolong dalam kalangan Bani Israel atau tidak. Maaf, saya malas membaca Bible dalam bahasa Inggeris. Lebih senang saya buka Bible Melayu.

Tapi, oleh kerana Addas of Niniveh itu penganut Nasrani maka saya fikir mungkin Yunus itu salah seorang pengikut ajaran Musa a.s. Moyang Addas mungkin pengikut ajaran nabi Yunus yang mengikut serpihan ajaran Musa itu. Kemudian, apabila tiba zaman Nabi Isa, mungkin ajaran itu tersebar di Niniveh pula. Addas adalah salah seorang yang mengikuti laluan keimanan yang ditinggalkan oleh para nabi itu.

Selain itu, Yunus tergolong dalam kalangan nabi-nabi yang terakhir dalam 25 orang rasul yang wajib diimani, iaitu --- Yunus, Zakaria, Yahya, Isa, Muhammad. Mungkin sebab itu, dalam bualan Nabi Muhammad dengan Addas of Niniveh, Baginda terus ingatkan Yunus.

Addas of Niniveh sezaman dengan Rasulullah s.a.w. Maka, berdasarkan jurai keturunan nabi, ‘bapa keempat’ Addas tadi mungkin hidup sezaman dengan Yunus. (Yunus–Zakaria –Yahya–Isa). Tapi, penilaian sebegini tidaklah tepat. Sebabnya, ada catatan menunjukkan bahawa kelahiran Rasulullah s.a.w ialah 571 tahun selepas masehi.

Lalu, jarak masa antara Nabi Muhammad dengan Nabi Isa mungkin membabitkan 5 atau 6 keturunan jika kita diambil usia manusia ketika hayatnya yang pada ketika itu mungkin secara puratanya menempuh usia hayat seratus tahun. Ertinya, jarak di antara Nabi Yunus dengan Rasulullah sendiri, mungkin sudah ada kira-kira 10 jurai warisan keturunan.

Selepas ‘kewafatan’ Nabi Isa pula, ada nabi-nabi dibangkitkan dalam Bani Israel. Nama-nama mereka memang ada dalam Bible, demikian kata rakan Kristian saya. Sebab itulah, rakan saya itu teragak-agak dan keliru dengan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w.

Rakan Kristian saya itu pernah bertanya, berapa lama jarak antara Isa dengan Muhammad s.a.w? Saya jawab lebih kurang 500 atau 600 tahun. (Saya menganggar begini kerana ada catatan yang menunjukkan Baginda lahir 571 selepas Masehi)

Kemudian, rakan saya itu berkata, “Memang Jesus sebutkan dalam Bible, bahawa selepas ketiadaannya, akan lahir seorang rasul ‘tidak lama lagi’.’ Beliau mencongak masa yang berputar dalam lingkungan 500 – 600 tahun itu cukup lama. Sementara itu, beliau pernah menemui nama nabi-nabi Bani Israel yang wujud dalam Bible selepas ‘kewafatan’ Jesus.

Cuma dia tidak tahu – siapakah antara nabi-nabi itu yang boleh dinisbahkan sebagai rasul yang dimaksudkan oleh Jesus. Sebab itu, dia meragui kerasulan Muhammad daripada sudut tertentu. Tapi, dari satu sudut, dia meyakini bahawa Muhammad mungkin seorang rasul. Ini kerana, menurut beliau, Muhammad diberikan al-Kitab (al-Qur’an).

Menurut rakan saya itu, semua nabi yang lahir selepas kewafatan Jesus tidak membawa kitab-kitab seperti Nabi Isa (Injil) dan Musa (Taurat) sendiri. Mereka hanyalah nabi biasa yang cuma mengikuti kitab-kitab rasul yang sebelum mereka. Tetapi, Addas of Ninizeh itu nampaknya tidak menyimpan sebarang keraguan lagi nampaknya.

Mungkinkah Niniveh itu jauh daripada tempat tinggal kumpulan pendeta Yahudi yang memutarkan isi ajaran Taurat dan Injil? Mungkin Niniveh itu sebuah perkampungan dalaman yang masih wujud saki-baki peninggalan Injil dan Taurat yang masih terpelihara maknanya? Kadangkala, saya yakin bahawa kita masih boleh menjumpai manuskrip itu.

Hanya yang diperlukan ialah semangat, bermodalkan geran penyelidikan daripada agensi-agensi agama seperti Jakim, Yadim atau mana-mana unit jabatan agama di bawah kelolaan Jabatan Perdana Menteri. Sehingga saya menulis ini, saya tertanya-tanya-adakah wujud universiti atau pun pensyarah yang berusaha menterjemahkan skrol yang dijumpai di dalam sebuah gua di tepi Laut Mati ke dalam bahasa Melayu?

Saya pun lupa apa nama penuhnya. Cuba tuan taip ‘Dead Sea Scroll’ dalam enjian carian Google atau Yahoo. Insya Allah, nanti tuan akan temui sejarah penemuan skrol itu. Untuk menceritakan latarbelakangnya, saya perlukan 50 halaman sekurang-kurangnya.

Hamka pernah menulis darihal skrol ini di dalam Tafsir al-Azhar yang dikarang di dalam penjara. Tapi, saya tidak ingat halaman ke berapa, surah dan ayat ke berapa? Kalau ada indeks dalam tafsir itu, mungkin tuan dapat mencarinya dengan lebih mudah.

Kalau betul tekaan saya bahawa Skrol Laut Mati itu adalah serpihan Injil serta perincian makna kitab-kitab lama, maka tentulah ini satu penemuan yang sangat berharga kepada usaha penyebaran dakwah di negara kita, malah hingga ke seluruh pelusuk Alam Melayu. Mengapa saya katakan demikian?

Sekali lagi, saya terpaksa berbual mengenai perang. Dalam konteks ini, perang itu bukan hanya terhad kita pertumpahan darah saja. Saya rasa, dalam hal ini tuan dapat bersetuju dengan saya, bahawa hal peperangan turut melibatkan pertembungan ideologi pemikiran.

Dalam bab-bab berikutnya, kalau ada kesempatan, akan saya cerita darihal kaedah yang mungkin berkesan dalam memerangi pengedaran dadah dan pengedaran rasuah. Hal ini memerlukan kepada strategi peperangan. Tanpa strategi yang baik, kemenangan tidak mungkin dapat diccapai dalam peperangan membantai pengedaran dadah dan rasuah.

Perang mengganyang dadah dan rasuah bukan membabitkan pertumpahan darah. Ia cuma membabitkan strategi dan perang pemikiran. Demikian dengan perang ilmiah atau dialog antara agama. Kita perlukan sumber. Al-Quran, Bible, Skrol Laut Mati dan sebagainya.

Berbalik kepada Skrol Laut Mati, kalau skrol itu boleh diterjemahkan oleh institut yang diamanahkan dalam hal-hal penterjemahan, maka teks itu boleh dijadikan sebagai senjata untuk menandingi kebanjiran Bible dalam bahasa Melayu dalam pasaran kita sekarang.

Kata sahibul hikayat, kebanyakan Bible Melayu itu memang dicetak oleh para pembesar Melayu Kristian di negara kita. Akhirnya, jika kita berani, boleh diadakan wacana ilmiah mengenai Bible Melayu serta perbandingannya dengan Skrol Laut Mati yang dijumpai di Qumran.

Kemudian, di universiti kita, haruslah diluluskan ilmu kristologi oleh Majlis Senat untuk meluaskan ufuk pemikiran pelajar dan masyarakat agar bertenaga dalam memahami asas sendi ajaran agama berkenaan. Tapi, kalau Majlis Senat Universiti kian ghairah berpolitik untuk parti tertentu atau merebutkan gelaran dato’ dan jawatan, susahlah sikit tuan.

Bagaimanapun, inilah peperangan – iaitu hal pertembungan idea dari dua blok aliran dan mazhab. Dalam dunia kebebasan ilmiah dan akademik, kita jangan risau. Tuhan sentiasa memihak kepada kebenaran. Kalau kita di pihak yang benar, tentulah kita menang.

Jika kita sekat perbincangan terbuka antara agama, seolah-olahnya kita takut akan kalah. Khalayak akan melihat kita bersalah. Sehinggalah saya menulis ini, saya harap tuan dapat memahami cerita saya ini.

Kalau tuan tidak jelas pun tidak apalah. Saya bercadang selepas hari raya nanti, kalau ada kesempatan di rumah terbuka, bolehlah saya serahkan tulisan ini kepada tuan. Saya akan cuba cermati semula isinya daripada segala sudut dan segi agar tuan tidak terkeliru nanti, insya Allah Ta’ala. Saya berhenti dahulu di sini tuan.


7 Ramadhan bersamaan 30 September, 3:56 p.m,

Tuan,

Bersambung pula bualan kita semalam. Kita bercerita mengenai hubungan naluri manusia yang ingin berperang dan menumpahkan darah itu sebenarnya – sebahagian daripada jiwa malaikat yang ingin terlibat dalam peperangan jika perlu. Pendirian yang sama inilah juga yang dikongsikan bersama Usman Awang lewat catitannya semalam.

Cuma yang menjadi kemusykilan. Adakah kedatangan malaikat yang menawar diri untuk menghempap bukit ke atas kaum Taif itu adalah arahan Tuhan juga? Maksud saya begini, adakah Tuhan sendiri yang mengarahkan malaikat agar pergi bertanya nabi-samada sosok itu mahukan kaum Taif itu dimusnahkan dengan batu-batuan yang ditinju dari langit?

Wallahu ta’ala ‘alam… Dalam lipatan ingatan saya, memang ada hukuman langsung dari Allah ke atas musuhNya. Bala tentera Abrahah contohnya, tewas ditinjukan batu daripada langit oleh burung Ababil. Dan, ada arahan rahsia dan sulit daripada Tuhan terhadap debu padang pasir yang akan mengelabui pandangan musuh apabila mereka mahu memerangi Muslimin dalam perang. Itu perintah yang bukan ditujukan ke atas para malaikat.

Ada perintah Allah ke atas para malaikat untuk berjuang bersama Muslimin. Pada zaman dulu, jika Allah ingin menurunkan azab ke atas suatu kaum, maka Dia terus mengarahkan malaikat datang menemui nabi. Kemudian, nabi memerintahkan para pengikutnya supaya keluar dari kampung mereka pada waktu malam.

Ini kerana, antara waktu malam hingga ke pagi itulah azab bakal ditimpakan. Tuan boleh menyemak kisah Nabi Lut termasuk kisah Nabi Musa yang membawa Bani Israel keluar daripada tempat mereka pada waktu malam. Hal itu terjadi apabila Allah benar-benar ada hasrat untuk menghukum kaum yang degil itu.

Dalam kes Nabi Muhammad s.a.w, malaikat turun bukanlah mewahyukan surah dan ayat baru sebaliknya bertanya dan memberikan pilihan kepada sang nabi sama ada mahu kaum itu disiksa atau tidak.

Jadi, setakat ini saya fikir malaikat itu menemui nabi atas nama peribadi lalu menawarkan bantuan jika tenaga mereka diperlukan. Dan, kalau tak silap bacaan saya, malaikat minta nabi berdoa agar Allah makbulkan doa nabi agar kaum Taif mati dihempap batu. Sebab, malaikat sendiri tidak boleh bertindak, melainkan dengan arahan Tuhan.

Tapi, saya harap jalan fikiran ini silap. Siapa saya untuk meneka apa-apa yang difikirkan Tuhan. Kita tak mampu meneroka alam dan wilayah fikiran Tuhan. Hal ini jelas dirakam dalam suatu dialog antara Nabi Isa a.s dengan Tuhan sendiri.

Syahadan, ada baiknya jika kita kembangkan lebih banyak kisah Nabi Muhammad s.a.w ini kepada khalayak. Kini, ada pihak yang berniat jahat mencemarkan peribadi Baginda. Saya fikir hal ini ada kaitan dengan kemalasan kita bercerita mengenai siapa Muhammad.

Kalangan agamawan dan kelompok fuqaha’ melebihkan cerita hukum-hakam dari kisah Nabi Muhammad s.a.w. Saya lihat intipati ajaran Kristian yang diajarkan tidaklah banyak menitikberatkan hukum-hakam Kristian itu sendiri. Kebanyakan mereka berlidah fasih di dalam memutarkan sekitar kisah riwayat dan hikayat kehidupan Jesus Christ.

Jejak Rasul kali ini ada menyelitkan perihal perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. Sudahlah kisah nabi itu banyak yang dibuang oleh orang-orang Yahudi sehingga banyak penganut Kristian kini yang terkeliru dan tertipu malah mereka sampai hati pula menuduh sosok itu sebagai pengganas. Yang berkata demikian ialah sang paus Benedict sendiri.

Saya fikir, kalaulah pendeta Yahudi bertanggungjawab dan ikhlas kepada agamanya, iaitu mereka tidak membuang coretan perihal kehadiran Nabi Muhammad s.a.w tentulah ramai yang menganut Islam. Rakan Kristian saya itu tentu tidak teragak-agak mengakui bahawa sosok itulah yang difatwakan Jesus Christ sebagai rasul akhir zaman. Kalau tidak, hingga kini rakan Kristian saya itu asyik meneliti – di antara nabi-nabi yang lahir selepas Jesus, siapakah rasul yang dimaksudkan?

Saya kira, baiklah saya berhenti di sini dahulu mengenai peperangan idea antara agama. Di lain masa, kita bertemu semula. Insya Allah Ta’ala.

5:04 petang, 7 Ramadhan 1427. --- Digilap semula 1:50 pagi, 8 Ramadhan 1427.
Sekolah Pemikiran Kg. Baru.

0 Responses to “”

Post a Comment


© 2006 Sanggar Pendeta, Langgar Pujangga | Blogger Templates by GeckoandFly.
No part of the content or the blog may be reproduced without prior written permission.
Learn how to make money online | First Aid and Health Information at Medical Health