Sanggar Pendeta, Langgar Pujangga

"Diabadikan buat seorang Perani, gadis Temasek (mungkin berketurunan Bugis). Gadis yang merayau-rayau di pulau Singa itu berjiwa singa dan berani mengaumkan suaranya, mencabar ego setiap kaum laki-laki yang seharian resah mengusung derita ke hulu ke hilir tanpa hentinya." --- H Fansuri, (1977 - 20??) - ibnuamir@yahoo.com.



2:40 petang, 10 Ramadhan.

Salam tuan,

Semoga tuan sihat hendaknya. Mohon maaf kerana baru-baru ini saya tersasar dalam perbualan. Kononnya mahu berbual mengenai cara-cara untuk memerangi kenaikan harga barangan runcit. Tapi, kerana ghairah dengan kisah yang berlaku di Palestin, maka saya terlupa mengulas isi perbualan kita yang sebenar.



Sebelum melanjutkan isi perbualan, inilah saya lampirkan beberapa ayat al-Quran yang ada kaitan dengan Nabi Syuaib a.s yang diutuskan oleh Allah s.w.t ke atas sebuah kaum peniaga kapitalis yang gemar menekan dan menindas para pembeli.
"Dan, (Kami telah mengutuskan kepada penduduk Madyan) saudara mereka Syuaib. DiIa berkata: "Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada Tuhan bagi selainNya. Sesungguhnya, telah datang kepadamu bukti yang nyata dari Tuhanmu. Maka, sempurnakanlah takaran dan timbangan dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia barang-barang takaran dan timbangannya, dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi sesudah Tuhan memperbaikinya. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika betul-betul kamu orang-orang yang beriman." (al-A'raaf: 85)

Selain itu, ayat-ayat lain yang berkaitan dengan perjuangan Nabi Syuaib ialah Al-A’raaf: 88, 90, 92, Hud: 84, 87, 91, 94, As-Syu’ara’: 177, Al-Ankabuut: 36. Atau, mungkin ada ayat-ayat lain lagi.

Sekarang 2:47 petang. Saya berhenti sekejap di sini. Nanti saya kembali semula, insya Allah Ta’ala.

5:52 petang,

Tuan,

Syukur umur kita masih panjang dan saya masih boleh menulis semula. Asar tadi saya ke Masjid Kg. Baru. Hari ini pelik sedikit. Entah kenapa bubur lambuk tak diberikan kepada khalayak sebagaimana biasa. Lari bajet peribadi berbuka puasa hari ini. Maklumlah orang bujang. Siapa mahu masakkan kepada saya.

Dalam perjalanan pulang saya terfikir darihal masjid. Di bulan puasa, memang masjid ini menjadi tumpuan. Selepas terawih itu ada moreh. Selepas Asar ada bubur lambuk. Jika di Kedah, namanya bubur lambuk itu kanji, atau kadangkala dinamakan bubur kanji.

Kemudian, apabila tiba 10 Ramadhan yang terakhir, mana-mana manusia yang rajin sikit, akan beriktikaf, sambil menunggu ketibaan lailatul qadar. Dalam pengalaman peribadi di Makkah dan Madinah, pada 10 Ramadhan terakhir itulah paling ramai orang.

Kata sahibul hikayat, pada tempoh itu juga seolah-olah seperti suasana haji adanya. Saya pernah ditarik baju ketika hampir berjaya mengucup Hajarul Aswad. Kasar betul manusia Arab ini. Saya lebih suka Madinah. Suasana di Madinah lebih aman. Saya sedang simpan duit. Mana tahu kalau-kalau boleh singgah ke Masjidil Aqsa di Palestin.

Saya tertanya-tanya. Ada orang mengatakan ada fatwa yang menyebut haram pergi Israel. Tapi, dalam masa yang sama, ada juga orang kita yang boleh pergi ke sana. Macam mana tu tuan? Dan di dalam pasport kita juga ada disebutkan: “Pasport ini sah digunakan untuk semua negara kecuali: ISRAEL.”

Kemudian, di Jabatan Imigresen pula ada satu bahagian atau unit khas yang memberikan laluan untuk warganegara kita pergi ke Israel. Saya sedikit terkeliru. Err…kita tinggalkan dulu hal ini. Nanti, tak sampai maksud atau tujuan bualan kita mengenai perang.

Tadi, saya menyentuh soal peranan masjid kerana ia ada kaitannya dengan perang. Kalau dilihat pada suatu hadis, ada juga diriwayatkan mengenai masjid yang berperanan sebagai tempat latihan bermain pedang.

Jika tak silap saya, Aisyah r.a ingin sangat melihat kumpulan lelaki yang bermain pedang di dalam masjid. Rasulullah s.a.w membawa Aisyah pergi melihatnya, lalu isteri Baginda menontonnya dari belakang Rasulullah s.a.w.

Ada juga azan-azan yang dikumandangkan di luar waktu solat. Saya difahamkan, jika ada peperangan, maka laungan azan itu mewakili isyarat dan simbol terhadap ancaman seteru umat Islam. Justeru, jalinan ikatan dan hubungan Tauhid ke atas ketenteraan Islam adalah suatu hakikat yang tidak boleh dipisahkan.

Dalam ketenteraan kita, memang ada ditubuhkan Kor Agama Tentera (Kagat). Saya tidak tahu apakah silibus yang diajarkan oleh pasukan itu ke atas masyarakat tentera kita. Saya lihat, bab-bab jihad dan peperangan ini banyak sekali disentuh oleh para alim-ulama pada zaman dahulu. Adakah kitab-kitab fiqah mengenai peperangan itu pernah dibahaskan?

Fiqah masyarakat tentera tentulah berbeza sedikit dengan fiqah masyarakat awam. Ketika perang misalnya, cara bersolat tentera memang berbeza dengan solat orang biasa di masa aman. Baru-baru ini, saya terjumpa ayat al-Quran itu; an-Nisa’, ayat 102.

Panjang juga ayat ini. Saya ada suatu buah fikiran yang ingin dikongsikan mengenai ayat-ayat panjang dalam al-Quran. Biasanya, ayat-ayat yang panjang begini amat penting kita telitikan bersama. Antara ayat panjang yang penting ditelitikan ialah ayat tentang hutang.

Nanti kita bualkan hal ini jika ada kesempatan. Mungkin kita perlukan 50 muka surat jika kita mahu bercakap darihal falsafah hutang piutang ini. Nanti kita sentuh darihal PTPTN. Pendidikan adalah sangat penting. Maka, perlukah pendidikan dan kaum pelajar terbeban dengan hutang yang berterusan?

Saja sentuh sikit hal PTPTN ini sebab saya pernah terdengar bahawa Allah dan RasulNya memerangi riba. Jika begitu, tentu soal memerangi amalan riba ini suatu hal penting juga. Sekarang, marilah kita berpatah semula ke tajuk asal.

Syahadan, ketika madrasah Ramadan berakhir, peranan masjid kembali seperti biasa. Hal yang ingin dibangkitkan di sini, apa sebenarnya fungsi masjid? Jika sekadar solat, hal itu boleh juga dilakukan di rumah. Sementara itu, peranan masjid itu bukan tertakluk kepada bulan puasa atau bulan-bulan lain. Ia bukan saja tempat aqad nikah, tempat mengagihkan zakat dan melambakkan bubur lambuk saja.

Kepentingan masjid ini tergambar daripada cerminan sikap Rasulullah sendiri ketika baru tiba di Madinah. Perkara pertama yang dibina bukanlah rumah Baginda. Menurut sejarah, di mana unta yang ditunggangi Rasulullah s.a.w duduk berehat, maka di situlah dijadikan sebagai batu asas dan tapak pembinaan Masjid Nabawi.

Saya lihat, di sini sudah ada persamaan watak Melayu dan Islam. Orang Melayu kita pada zaman dahulu selalu meneliti perangai kerbau. Di mana kerbau duduk berehat, maka pada tempat itulah dijadikan tiang seri rumah. Kata sahibul hikayat, tempat kerbau berehat itu bukanlah tempat laluan makhluk halus dan ia sesuai dengan cuaca dan aliran angin.

Jika lembu berehat di suatu tempat, maka tempat itu tidak sesuai dijadikan rumah. Lembu itu pengotor. Di mana lembu berehat, di situlah dia lambakkan najisnya. Berbalik kepada cerita unta, saya tidak tahu adakah hal yang sama terjadi ke atas Nabi Ibrahim dan Ismail ketika mereka membina asas dan tapak Kaabah?

Adakah mereka berdua menunggang unta, kemudian tempat di mana unta itu berehat, lalu di situlah asas Kaabah? Walaubagaimanapun, ada catatan riwayat yang menyatakan Nabi Adam a.s adalah orang pertama yang membina Kaabah itu. Kemudian ia runtuh. Lalu dua orang nabi itulah yang kembali membinanya semula.

Err.. jika begitu, sudah wujudkah unta di zaman Nabi Adam? Saya rasa, haiwan dinasour pun sudah pupus semenjak kedatangan Adam. Saya rasa, unta bukan tergolong dari jenis haiwan purba. Kalau mammoth jelmaan gajah. Kalau unta, jelmaan haiwan apa agaknya?

Entahlah… tuan tanyalah kepada saintis yang ahli dan pakar dalam bioteknologi. Mereka ada kepakaran dalam mengesan genetik dan genom agaknya. Ah! Melalut fikiran saya ini tuan… sudah 6:30 petang. Saya mahu sediakan juadah dan menonton tv sekejap. Nanti, saya sambung semula, insya Allah Ta’ala…


6:00 pagi, 11 Ramadhan,
Tuan,

Semalam, ketika saya menonton Warta berita. Saya melihat ucapan tuan mengenai NAM di Havana, Cuba. Nampaknya, sekarang ini, negara komunis yang akan memimpin NAM. Bukan lagi kita. Cuba, dalam laporan itu dikatakan sebagai sebuah negara miskin, tetapi dalam masa yang sama, negara itu berjaya memberikan rawatan dan pendidikan percuma kepada rakyatnya. Sebab itu, kata sahibul hikayat, Cuba adalah contoh negara Islam.

Jadi, saya sokong 300% apabila laporan semalam menyatakan bahawa kita (negara Islam contoh) akan mengkaji tentang bagaimana Cuba membina negaranya selama ini. Dalam sebuah filem biografi mengenai Fidel Castro yang ditayangkan di tv mungkin bulan lalu, hal pembangunan rawatan dan pendidikan percuma itu didapati hasil kemuncak revolusi.

Bahkan, dalam mesyuarat pertama antara Castro (menurut filem itu) bersama ahli kabinet pertamanya, secara bergurau mereka meletakkan perundangan pertama; iaitu lelaki Cuba wajib menyimpan janggut. Jika hal itu berlaku, mereka antara rakyat yang mengamalkan sunnah secara tidak sengaja. Tetapi, itu cuma gurauan sahaja.

Ertinya, di sini negara komunis seperti yang tuan lawati di Cuba mampu menawarkan hal kebaikan kepada rakyat. Entah-entah, jika kita beri peluang kepada komunis memerintah negara, mungkin kaum pelajar tidak terbelenggu oleh hutang PTPTN serta marhaen yang kesakitan tidak perlu mengeluarkan belanja banyak untuk mendapatkan rawatan.

Masalahnya, ketika darurat dahulu British telah mengepung media kita daripada memberi ruang kepada komunis untuk bercakap. Propaganda British cukup kuat. Hal itu telah saya sebutkan dalam wakalah yang lepas, iaitu ada laporan Bernama yang merakam kenyataan bekas pegawai British – bahawa kemenangan British dalam darurat adalah kerana mereka berjaya meyakinkan rakyat agar menyokong mereka.

Dan hal itu, sudah tentunya melalui perancangan tersusun untuk melancarkan peperangan propaganda melalui media. Bukankah kita bersetuju – media adalah sebahagian daripada alat perang propaganda? Lagi pun, ada catatan menyebutkan bahawa RTM dibangunkan sistemnya daripada para pengamal media daripada Canada. Semua itu blok kapitalis juga.

Kini, kelompok negara NAM telah ada media baru bagi menepis dakyah CNN dan media barat yang lain. Agensi berita itu ialah Nam News Network (NNN). Daripada bacaan saya tempat operasinya berpusat di Malaysia. Kalau begitu, baik juga kita himpunkan pasukan wartawan NNN daripada negara anggota NAM supaya membuat laporan khas mengenai pembangunan di Cuba khususnya hal yang menyangkut dimensi rawatan dan pendidikan.

Siarkan secara langsung, secara terbuka. Tentunya hal ini memberikan tamparan hebat ke atas blok negara kapitalis. Mereka tentu malu dengan cara pembangunan negara mereka selama ini. Ya lah, bukan sekali dua CIA mahu membunuh Castro. Tidak silap saya lapan kali. Tapi, akhirnya hanya Tuhan yang mampu membunuh sosok tua itu. Kini, dia sedang terlantar sakit. Orang yang mahu dibunuh itulah orang yang berjaya membina negara.

Dari satu sudut, tentunya ada pihak berkata, bagaimana Rusia boleh runtuh ekonominya? Saya rasa hal ini ada kaitan dengan Henry Kissinger. Henry pernah bersekongkol dengan Richard Nixon dalam era 70-an. Dalam masa yang sama, Henry juga boleh menjadi insan penting di KGB. Kalau nak cerita hal ini, tentunya kita perlukan 50 halaman pula.

Rusia dan Cuba, sama-sama komunis. Di dalam filem biografi Castro itu ada dirakamkan juga mengenai konflik antara Rusia dan Cuba. Saya pun tidak memahami isi butiran yang selengkapnya. Nantilah saya lihat semula. Apa yang penting, jarum Yahudi Zionis tidak dapat meluncur masuk ke dalam Cuba seperti mana yang berlaku di Rusia.

Oh, satu lagi saya terlupa. Bukankah di Rusia itu ditemui Protocols of the Elders of Zion? Manuskrip dalam catatan bahasa dan tulisan Yahudi itu akhirnya diterjemahkan di dalam bahasa Rusia oleh seorang profesor. Pengaruh Yahudi bertapak lebih lama di sana. Kesan saki-baki itulah yang memungkinkan Henry dan juak-juaknya boleh berkampung di sana dan memelihara kelangsungan politik Zionis.


Tuan,

Saya rasa, lebih baik kita hantar pelajar kita ke Cuba untuk mendapatkan ilmu kesihatan. Belanjanya tentu murah. Err…lagi pun kaum wanita Amerika Latin pun bukan calang-calang cantiknya. Apa salahnya pelajar kita lebarkan dakwah melalui perkahwinan. Kalau ada geran penyelidikan, sayalah orang pertama yang akan kirim permohonan untuk buat kajian di sana. Syarat pertama, mesti berkahwin dengan orang Cuba…ha .. macam mana?

Cuba tuan kaji. Laporan berita semalam ada memberitahu bahawa negara mahu mengkaji bagaimana Cuba dapat menyediakan rawatan dan pendidikan percuma kepada rakyatnya. Saya pasti, di sana tiada belenggu piutang PTPTN dan tiada akta seperti Auku.

Akhir-akhir ini, saya fikir kita kena putarkan semula paradigma kita sebanyak 360 darjah kepada negara-negara blok komunis. Dalam negeri kita ganyang dan memerangi komunis dengan teruk sekali. Di luar negeri, kita berbaik-baik dengan negara-negara blok itu pula.

Sebenarnya, apakah pendirian negara mengenai komunis, negara komunis dan pemimpin negara komunis? Hal ini mesti dijawab. Orang bodoh macam saya sedang terkeliru. Pada saya, jika kita hormat blok komunis di luar, maka kita perlu juga hormat kepada komunis di dalam negeri. Filem berbentuk sejarah komunis dalam negara susah kita luluskan pula. Tapi, kalau filem merempit yang dipenuhi adegan ranjang jalang, boleh pula kita luluskan untuk tontonan masyarakat. Bilakah gelombang kesedaran rakyat mahu ditingkatkan?

Apa kata, kalau Finas terbitkan filem biografi Lelaki Nasionalis Terakhir? Antara sosok yang kita perlu hikayatkan riwayat kisah hidup perjuangannya ialah Onn Jaafar. Jadi, jika tuan bersetuju, sekali lagi, tuan boleh buat peruntukan geran penyelidikan untuk saya dan rakan-rakan membuat skrip, menyusun cerita dan sebagainya.

Oh ya, dalam Fenomena Seni yang lalu ada disebutkan, Finas menyediakan ‘dana’ RM50 juta terhadap para penggiat filem. Hatta, orang bodoh seperti saya pun boleh buat filem. Walaubagaimanapun, saya bersetuju dengan pandangan seorang panelis yang berkata, hal ini akan melahirkan lebih ramai pemuflis.

Ini kerana, 50 juta itu bukannya dana tetapi hutang seperti PTPTN juga adanya. Ia bukan geran yang diluluskan untuk menaja projek-projek tertentu. Kalau PTPTN, ada logiknya sebab ia adalah pelaburan pendidikan dalam bentuk hutang.

Tapi, dana Finas ini untuk menaja filem-filem seperti Cicak Man dan lain-lain yang saya tidak pasti adakah filem-filem ini akan menjadi bahan kajian para pensyarah serta pelajar kita di universiti. Semasa di universiti dulu, ada filem-filem Hollywood yang memang di simpan dalam satu rak khusus. Ia tak boleh dipinjam sesuka hati atas saranan pensyarah.

Sebagai pelajar komunikasi, saya akhirnya terserempak dengan All The President’s Men dan Citizen Kane. Kalau mahu cerita lanjut mengenai kedua filem-filem itu, kita perlu 50 halaman pula. Ringkasnya, adakah Finas peruntukan 50 juta itu sebagai usaha melahirkan lebih banyak produk filem-filem bercorak pendidikan kepada rakyat.

Jikalau karyawan seni mahu membuat filem yang bercorak hiburan, biarlah mereka susah mencari duit sendiri. Pastikan duit rakyat RM 50 juta itu tidak digunakan atas tujuan yang bukan suka-suka. Ingat, media perfileman termasuk serpihan budaya. Kita bukan di dunia lokal. Barat melancarkan perang budaya sejak sekian lama melalui produk filemnya.

Saya pun jadi khuatir dengan nasib masa depan industri filem kita. Agaknya, kalau orang putih datang ke negara kita, dia rasa tertipu apabila menonton filem ‘My Heart’.

Jangan-jangan dia mencemuh, “Demmit, I fikir ini kisah cinta Mat Saleh seperti kita ya darling. Rupa-rupanya filem cinta orang Indonesia ala-ala Kuch Kuch Hota Hai adanya.”

Tentu dia lagi keliru mendengarkan lagu Irwansyah dan Acha bertajuk ‘My Heart’ ketika mendengar jalinan campur aduk pasembor rojak antara bahasa Melayu–Inggeris di dalam lagu itu. ‘My Heart’ adalah lagu tema filem itu. Saya pun suka lagu tersebut, sebab sedap didengar. Tapi, nak buat macam mana?

‘Cicak Man’ pun ada bunga-bunga menuju ke arah mencederakan bahasa kita. Sudah ada nilai kerojakan dan kepasemboran dalam ‘laras bahasa’ perfileman Malaysia. Adakah hal ini memang wujud? Maksud saya ‘laras bahasa’ filem. Yang saya tahu, ada ‘laras bahasa’ akhbar, iaitu satu istilah cara menulis berita laporan dalam akhbar. Dan, kadangkala pula, bentuk penulisan itu tidak mengikut tatabahasa dan nahu bahasa Melayu yang sebenar.

Aduh! Panjang betul kita berbual mengenai peperangan ini ya tuan. Perang bukan hanya menitiskan air mata dan darah. Tetapi, ia adalah pertempuran idea, pemikiran dan budaya juga seperti yang tergambar dalam produk budaya seperti buku, filem dan sebagainya.

Saya berhenti di sini dahulu ya tuan. Insya Allah kita bertemu lagi. Wassalam…


11.45 pagi, 11 Ramadhan.
Sekolah Pemikiran Kg. Baru.

Gilapan terakhir, 10:20 p.m.

0 Responses to “”

Post a Comment


© 2006 Sanggar Pendeta, Langgar Pujangga | Blogger Templates by GeckoandFly.
No part of the content or the blog may be reproduced without prior written permission.
Learn how to make money online | First Aid and Health Information at Medical Health