Sanggar Pendeta, Langgar Pujangga

"Diabadikan buat seorang Perani, gadis Temasek (mungkin berketurunan Bugis). Gadis yang merayau-rayau di pulau Singa itu berjiwa singa dan berani mengaumkan suaranya, mencabar ego setiap kaum laki-laki yang seharian resah mengusung derita ke hulu ke hilir tanpa hentinya." --- H Fansuri, (1977 - 20??) - ibnuamir@yahoo.com.


« Home



1:50 a.m, 29 Syaaban 1427 bersamaan 23 September 2006.

Kitab Induk Peperangan / Darihal Falsafah Perang

Daripada Ibnuamir al-Pendangi kepada Ibnu Ahmad al-Badawi,



Tuan,

Alhamdulillah, wassolatu wassalam 'ala Rasulillah. Amma Ba'du ...

Ketika saya memulakan penulisan ini, sebuah filem mengenai peperangan antara Amerika dan Jepun hampir-hampir khatam ceriteranya di TV3. Filem itu, entah apa tajuknya saya sudah lupa. Ia mengenai tragedi peperangan dalam era Perang Dunia Kedua.

Akhirnya, timbul fikiran baru untuk merakamkan pandangan saya kepada tuan mengenai apa-apa sahaja yang terlintas di fikiran saya mengenai perang dan peperangan. Sebenarnya, qasad di hati untuk menulis kepada tuan wujud telah lama. Cumanya, akhir-akhir ini deruan perasaan itu semakin memuncak dan melonjak ke tahap yang luar biasa adanya.

Saya telah menulisnya berpuluh-puluh kali. Tapi, selalunya 'tidak menjadi'. Malam ini saya cuba lagi. Manalah tahu, kalau-kalau ada keberkatan dalam bulan Ramadhan ini, maka usaha menulis dan merakamkan buah fikiran saya kepada tuan akan berterusanlah hendaknya.

Tuan,

Setelah menonton filem perang tadi, ada ilham menjelma di batu jemala. Apakah sebenarnya yang menyebabkan atau mendorongkan kemenangan Jepun dalam peperangan mereka? Apa yang kita lihat ialah mereka mempunyai semangat 'kamikaze', iaitu membunuh diri hingga mengorbankan musuh mereka.
Sebagai contohnya, jika sebuah pesawat pejuang Jepun telah hilang kawalan akibat ditembak musuh, maka pemandu pesawat tadi akan membuat kamikaze dengan memilih mana-mana gudang dan kubu kekuatan musuh sebagai sasaran. Bagi mereka, pesawat yang sudah rosak itu perlu juga dimusnahkan hingga menghancurkan dua tiga kubu kekuatan musuh.

Taktik ini amatlah berkesan dan berupaya menakutkan pihak musuh. Dalam ketenteraan Melayu, ada disebutkan bahawa almarhum Leftenan Adnan Saidi pernah melakukan 'kamikaze'-meletupkan diri sendiri dengan bom tangan hingga kematiannya itu mengakibatkan kematian tentera Jepun yang lain.

Sejak bilakah bom atau bahan peledak mula menembusi 'pasaran kematian' atau pun 'industri pertahanan' di alam Melayu? Saya sebenarnya benci istilah industri pertahanan yang selalu digunakan secara meluas oleh media kita. Tapi, untuk memudahkan perbincangan, kita gunalah dulu perkataan ini. Nanti, apabila tiba saatnya, kita akan tumpukan terus, menjurus kepada industri ini termasuk istilah 'saudagar maut'.

Dalam bacaan dangkal saya, kaum yang pertama menggunakan bahan peledak ialah bangsa Cina. Tetapi, entahlah betul atau tidak bacaan saya itu. Barangkali ada kaum lain sebelum itu yang pernah menggunakan bahan peledak. Dalam filem atau drama bersiri Robin Hood pun ada juga meriam digunakan. Itu era kegelapan. Bila pula teknologi ledakan boleh sampai di era itu, tidaklah saya tahu. Yang saya tahu, mereka hanya tahu bermain pedang dan anak panah.

Ada juga disebutkan dalam sebuah dokumentari Discovery Channel yang menyajikan kisah seorang lelaki China yang menganggap dirinya keturunan Rom. Hujah yang menarik di dalam dokumentari itu ialah, tentera Rom sebenarnya gabungan pelbagai kaum. Ertinya, Gladiators itu bukannya terdiri dalam kalangan orang Eropah sahaja, bahkan termasuk kaum Cina.

Hingga sekarang, menurut dokumentari itu, ada sebuah perkampungan yang masih mengamalkan tatacara ketenteraan Rom, kononnya mereka adalah saki-baki warisan dan keturunan tentera Rom tersebut. Kerajaan China dan Rom, menurut Hikayat Hang Tuah adalah antara kerajaan yang sezaman. Laksamana itu pernah dihantar sebagai duta, atase dan perwakilan di sana.

Demikian juga Hikayat Merong Mahawangsa yang memeperihalkan Putera Raja Rom yang berkahwin dengan Puteri Raja China, walaupun dihalang Sang Garuda. Kalau saya mahu berhujah secara bodohan, maknanya hubungan diplomatik sudah wujud antara dua kerajaan itu sejak Kerajaan Kedah Tua wujud lagi.

Kalau berlaku hubungan diplomatik, ertinya mungkinkah berlaku penggabungan antara tentera China dan tentera Rom Gladiators sehingga menerbitkan sangkaan di dada lelaki China tadi, yang mendakwa dirinya sebahagian daripada serpihan warisan keturunan Rom. Entahlah.

Tuan,

Mungkin juga teknologi bahan peledak itu turut meresap dan menjana pertumbuhan baru dalam teknik peperangan Rom? Adakah dalam siri peperangan Rom dan Parsi, bahan peledak itu mula digunakan? Maaf, saya suka bertanaya soalan bodoh. Tapi, tuan tiada pilihan lain. Terpaksa tuan membaca tulisan ini hinggalah ke noktah terakhir.

Walaubagaimanapun, adakah wujud konsep kamikaze dalam seni peperangan Cina? Iaitu peledak itu diikat ke dada lalu diletupkan apabila mereka berada dalam kepungan musuh? Saya cuba membaca kitab Sun Tze, The Art of War yang diterjemah dalam bahasa Melayu oleh Yassin Tani (Yap Sin Tian), salah seorang pimpinan Dong Jiao Zhong di New Era Kolej, Kajang.

Beliau memberi buku terjemahan ini kepada saya tanggal 5 Jun lalu saat saya menemuramahnya darihal isu bahasa untuk akhbar Siasah. Di dalamnya, saya menemui permata ilmu yang tiada tolok bandingnya. Dan saya terpegun ketika membaca tulisan almarhum Usman Awang yang telah merakamkan pandangannya di dalam buku kecil ini. Nanti saya kongsikan dengan tuan terhadap beberapa pandangan Usman yang saya kira menarik untuk diteliti.

Oleh kerana saya belum khatam buku ini dan saya memiliki tabiat kurang baik dalam membaca buku (saya suka melompat-lompat dalam pembacaan), maka sukar untuk saya berceritera kepada tuan mengenai topik yang saya mahu bangkitkan awal-awal tadi, iaitu 'kamikaze' dan 'bahan peledak' dalam falsafah peperangan China.

Nanti, kalau terjumpa, saya akan menyambung perbahasannya mengenainya semula, insya Allah Ta'ala. Kadangkala saya jadi terfikir dengan sepotong ayat ini, "Tuntutlah ilmu walau ke negeri China." Ada orang menyifatkan ia adalah hadis. Tapi, ada orang menafikannya, malah menganggap ia hadis palsu.

Pedulikanlah soal itu. Saya pun bukan ahli dan imam hadis walaupun nama saya hampir-hampir menyamai imam hadis. Apa yang ingin saya kongsikan dengan tuan, ialah kalau ia hadis, maka kenapa Rasulullah s.a.w membuat dasar pandang ke Timur, iaitu China? Kalau ia sekadar kata hukama' dan alim ulamak sekali pun, kenapakah kita diseru belajar ke negeri Cina.

Mungkinkah ilmu yang dimaksudkan itu adalah ilmu serta falsafah peperangan China, warisan Sun Tze?

Saya harap, di mahligai Putrajaya itu ada pustaka peribadi tuan, di mana kitab peperangan ini sedia tersisip antara ratusan manuskrip dan makalah bacaan tuan sendiri sebagai salah satu rujukan hendaknya.

Tuan,

Kalau kita mahu berbincang panjang lebar darihal peperangan, maka kita perlu bermula sejak awal-awal kemunculan manusia. Para malaikat pernah membangkitkan persoalan yang kritikal; adakah manusia itu mahu diciptakan juga walaupun mereka nantinya saling berbunuhan serta bersengketa sesama mereka? (al-Baqarah: 30)

Betapa panjangnya ceritera peperangan ini sehinggakan, semenjak kemunculan Adam lagi, hal menumpahkan darah ini menjadi topik hangat yang dibahaskan di alam malakut. Malaikat amat membenci pertumpahan darah. Jadi, jika kita ada perasaan membenci peperangan, maka jiwa malaikat memang wujud dan bertakhta dan bersemadi dalam raga kita.

Kalau sebaliknya, jiwa kehaiwanan itulah yang seringkali menyeru kita ke arah peperangan. Tetapi, saya tertanya-tanya. Adakah Tuhan tidak mempedulikan persoalan yang dibangkitkan para malaikat. Adakah persoalan ilmu pengetahuan yang bersarang dalam dada Adam dan semua cucu-cicitnya lebih berharga daripada sikap Bani Adam yang gemar menumpahkan darah itu?

Tuan boleh meneliti ayat seterusnya apabila Tuhan menunjukkan kehebatan ilmu Adam sehingga tewas para malaikat dalam hal menamakan sekalian nama-nama di dalam syurga.

Maaf, jika andaian saya silap. Bertolak daripada sini, saya mengandaikan bahawa ilmu yang bersarang di dada manusia itu lebih baik daripada keburukan yang dicetuskan manusia akibat sengketa peperangan. Kita tentu tertanya-tanya lagi. Kenapa begitu?

Tuan rasa kenapa? Kenapakah, apabila berada di atas dua pertimbangan dan persimpangan ini, iaitu ilmu di dada manusia (baik) dan pertumpahan darah manusia (buruk), maka Tuhan tetap memilih manusia sebagai Khalifah, bukannya malaikat dan bukan Azazil (Iblis)?

Lama benar saya berfikir dan merenung hal ini. Saya rasa inilah jawapan terbaik yang dapat dimajukan kepada tuan berbekalkan keyakinan, bermodalkan kesucian niat mencari kebenaran.
Jawapan saya begini: Bahawa, jika diukur, ditimbang sukat antara dua nilai baik dan buruk itu, ternyata nilai kebenaran itulah yang akan menang sampai bila-bila pun. Dalam sepotong ayat al-Quran ada disebutkan bahawa apabila datangnya al-Haq (kebenaran), maka lumpuhlah kebatilan, sesungguhnya kebatilan itu akan benar-benar tersunggur.

Jadi, antara dua nilai baik dan buruk manusia ini, akhirnya Tuhan akan memihak nilai yang baik dalam diri manusia. Maka, selama mana manusia yang paling teruk dalam dunia ini masih tidak putus harapan kepada Gusti Alloh, nescaya Tuhan akan memberinya ruang serta peluang untuk bertaubat, sekali gus memberinya petunjuk dan taufiq ke arah jalan yang diredhaiNya.

Seterusnya, jika kita lihat sikap dan pendirian para malaikat sendiri ketika melihat Nabi Muhammad s.a.w berlumuran darah di Taif akibat dilemparkan batu ketika Baginda berdakwah, para malaikat sendiri menjadi hiba dan gundah gulana. Menurut satu riwayat yang saya baca, Jibril berkata kepada Nabi: "Berdoalah kepada Allah agar kami timpakan batu-batu ke atas penduduk yang degil ini. Nescaya doa RasulNya akan dimakbulkan."

Jibril dan para malaikat menyedari bahawa mereka tidak boleh bertindak melulu melainkan dengan keizinan Tuhan. Sebab itu mereka meminta Rasulullah berdoa. Jika makbul doa itu, maka dengan sendirinya nanti Tuhan akan mengizinkan malaikat melempari manusia yang degil itu dengan batu.

Kata Rasulullah s.a.w: "Aku diutuskan sebagai pembawa rahmat kepada seluruh alam."

Kejadian ini menempelak kembali para malaikat. Dahulunya, mereka mengandaikan bahawa insan hanya tahu bermusuhan dan bersengketa. Ternyata, kecenderungan menumpahkan darah itu juga hadir menyelinap dalam diri malaikat. Dan, sikap Rasulullah yang enggan berdoa itu sendiri menjadi hujah dan sandaran bukti bahawa tidak semua manusia suka bermandi darah! Ada juga manusia yang memilih jalan damai seperti Rasulullah walau dihina, dicemuh dan dicederakan. Atas alasan itu juga Allah tetap memilih manusia sebagai KhalifahNya. Itu pandangan saya. Boleh jadi tidak serasi dengan pandangan tuan.

Pandangan terakhir sekali, yang ingin saya rakamkan di sini - ialah pertumpahan darah yang bersifat negatif itu bukan menjadi alasan Tuhan untuk menafikan kewujudan manusia sebagai Khalifah kerana ... Perang itu sendiri mempunyai dua makna. Makna baik dan buruk.

Ada perang yang baik dan ada perang yang buruk. Semua itu boleh kita bahas dengan panjang apabila kita mencermati sepatah demi sepatah ucapan bicara, rakaman fikiran, pendirian dan pandangan Sun Tze nanti, Insya Allah Ta'ala.

Dalam hemat saya, hal pertumpahan darah dan perang boleh menjadi baik apabila dinamakan ia sebagai Jihad. Jihad itu adalah amal soleh. Pertumpahan darah itu jika diseru di atas nama Tuhan, maka amal solehlah ia. Contoh mudah, kenapakah kita menyembelih haiwan ternakan di atas nama Tuhan dan menyebut Basmalah? Bukankah hal itu mengikut sunnah Nabi Ibrahim saat menyembelih anaknya, Ismail yang akhirnya digantikan dengan seekor kibas?

Kata seorang ahli pemikir Barat terdahulu yang saya lupa namanya, "Hanya perang yang boleh menamatkan peperangan." Dalam konteks kita sebagai orang Islam, perang Jihad tentulah satu peperangan yang baik dan akan dinilai sebagai amal soleh untuk menentang kezaliman tentera rejim Yahudi dan Israel.

Perang itu sememangnya konotasi yang negatif. Akan tetapi, apabila perang itu dinisbahkan kepada Jihad bil qital di medan berdarah, maka hal itu termasuk dalam kategori amal soleh. Maka, saya fikir, sebab itu juga Tuhan tidak berhasrat membatalkan agendaNya untuk memilih manusia sebagai KhalifahNya.

Ini kerana, Tuhan sangat mengetahui bahawa dalam dada manusia itu ada ilmu, di mana dengan kefahaman ilmu itu, akan menyebabkan mereka mampu mengolah hal yang kelihatan negatif itu menjadi amal soleh dan positif adanya. Wallahu Ta'ala 'Alam ...

Tuan,

Boleh jadi saya tersilap dalam berkata-kata dan menyusun bicara. Jadi, silalah tuan cermat memperhalusi pandangan ini. Mana-mana yang keruh, jernihkan kembali dengan pendapat segala agamawan yang ikhlas menyampaikan pandangan mereka untuk tujuan kebaikan bersama.

Azan Subuh sudah lama berkumandang. Kalau ada kesempatan dan ajal saya belum sampai, esok kita sambung bualan kita lagi. Saya akhiri coretan nota di hujung bicara ini dengan ucapan Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh ...

--- TAMAT ---
al-Mukhlas,
Ibnuamir al-Pendangi,
Sekolah Pemikiran Kg. Baru,
290827 bersamaan 230906, 6:23 a.m.

3 Responses to “”

  1. # Blogger Blogger

    Tahniah saudara.

    Saya memang berminat membaca artikel berbentuk pandangan dan ilmiah begini.

    Elok juga dikaji di masa hadapan dalam blog ini, rahsia kehebatan wira-wira Islam.

    Pernah juga saya membaca buku karangan seorang Jeneral dari Iraq yang menceritakan kehebatan pahlawan Islam. Di antaranya Salahuddin al-Ayyubi, wira Islam ke-2 yang berjaya membebaskan al-Quds selepasa saidina Umar al-Khattab.

    Menurut beliau tidak kurang dari 600 wira Islam yang bukunya masih tersimpan di sana dan belum diterjemahkan ke bahasa lain serta tidak desebarkan.  

  2. # Blogger nota untuk Syiah

    salam ...

    Terima kasih atas komen Pak Ngah.

    Saya sudah lihat blog Pak Ngah. Nak try buat link, chat, letak google adsense, tapi saya tak pandai.

    Mohon tunjuk ajar Pak Ngah. Biar jadi meriah sikit macam blog Pak Ngah tu.

    Nak kontek Pak Ngah macam mana?  

  3. # Blogger Blogger

    saya cuba terangkan dalam email sebab dalam komen ni, kod HTML tak boleh di taip.

    sila buka email h.fansuri@gmail.com

    ambo6970@gmail.com  

Post a Comment


Web This Blog


© 2006 Sanggar Pendeta, Langgar Pujangga | Blogger Templates by GeckoandFly.
No part of the content or the blog may be reproduced without prior written permission.
Learn how to make money online | First Aid and Health Information at Medical Health