Sanggar Pendeta, Langgar Pujangga

"Diabadikan buat seorang Perani, gadis Temasek (mungkin berketurunan Bugis). Gadis yang merayau-rayau di pulau Singa itu berjiwa singa dan berani mengaumkan suaranya, mencabar ego setiap kaum laki-laki yang seharian resah mengusung derita ke hulu ke hilir tanpa hentinya." --- H Fansuri, (1977 - 20??) - ibnuamir@yahoo.com.



5 Ramadhan bersamaan 28 September / 12:02 pagi,

Salam tuan,

Kita tinggalkan cerita semalam. Dan kita buka pula lembaran baru. Saya fikir, kita perlu berpatah semula kepada belakang dalam mengisi perbualan kita di awal pagi ini. Masih ingatkah tuan ketika saya bercerita mengenai sebuah filem perang antara Jepun-Amerika?



Setelah saya menyemak semula, nama tajuk filem itu ialah Pearl Harbour. Heronya ialah Ben Affleck. Saya tidak tahu adakah beliau ada kaitan hubungan dengan Ben Laden atau Ben Gurion, David – pimpinan Yahudi Zionis Israel itu. Tetapi, sosok ini memang pernah mengkritik pentadbiran Bush dan Yahudi juga. Saya keluar dulu tuan. Ada hal sekejap.


5 Ramadhan, 5:48 petang.

Tuan,

Kita sambung semula. Saya baru pulang dari mengambil bubur lambuk di Masjid Jamek Kg Baru. Sementara menunggu waktu berbuka, maka inilah saya lampirkan beberapa isi pandangan Usman Awang yang dirakam dalam kitab Sun Tze yang diterjemah ke dalam bahasa Melayu. Laku juga bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu ya tuan sampaikan bangsa Cina pun terfikir untuk menterjemahkan ilmu ini ke dalam bahasa kita.

Tapi, kita sendiri tak dapat menjamin nasib bahasa Melayu di Tanah Melayu sendiri. Hal itu, nantilah kita bincangkan kemudian. Penting juga masalah bahasa ini. Oh ya tuan, tadi pagi, kira-kira 10:48 pagi, ada panggilan menjengah ke ponsel saya. Seperti dari kawasan Putrajaya saja nombornya. Tapi, saya tak angkat. Saya memang penakut sikit.

Tapi, saya berharap dugaan saya itu salah. Boleh jadi ada orang lain kot. Tak apalah. Dan sebagaimana yang dijanjikan, inilah sajian hidangan cetusan buah fikiran Usman Awang mengenai perang yang saya fikirkan perlu kita cermati bersama.

--- MULA ---

Manusia dan Perang

Oleh Usman Awang

Peperangan, sebuah perkataan yang sangat saya benci dan kerana itulah dalam kebanyakan karya saya, terutama puisi, rasa benci ini saya ungkapkan.
Pengalaman pertama mengenai perang ketika saya berusiua dua belas tahun apabila beberapa buah kapal terbang Jepun menggugurkan bom di Bandar Maharani, Muar, Johor pada tahun 1941. Saya yang berada tidak jauh dari tempat itu lari lintang pukang bersama orang ramai yang terkejut dengan kejadian tersebut.


Tujuh tahun kemudian, sekali lagi saya mengalami keadaan perang apabila penjajah Inggeris mengisytiharkan Undang-undang Darurat (Jun 1948). Saya terlibat secara langsung kerana pada waktu itu saya mencari nafkah dengan menjadi seorang anggota polis.
Saya diserapkan dalam Pasukan Polis Hutan membuat rondaan ke hutan-hutan mencari ‘sarang’ pemberontak yang menentang penjajahan Inggeris. Syukurlah, senapang dan peluru serta bom tangan yang dibekalkan kepada saya tidak pernah melukai atau membunuh ‘musuh’ yang memang bukan musuh saya.

Meskipun perang Zaman Darurat itu bukanlah perang yang besar, tetapi pembunuhan demi pembunuhan berlangsung, nyawa demi nyawa terkorban. Saya menyaksikan tubuh-tubuh yang bergelimpangan kaku dengan bekas-bekas tembusan peluru yang mengoyak badan dan simbahan merah darah yang mengerikan dan memedihkan.


Pengalaman langsung tentang perang dan pembunuhan ini bertambah pula dengan pengalaman melalui tulisan dan berita serta gambar-gambar yang mengerikan melalui filem-filem tentang perang besar dunia (1939 – 1945), diikuti dengan perang di Korea, Vietnam, Kampuchea, kekejaman Zionis, keganasan di Lubnan, perang di Afghanistan, perang Iran dengan Iraq, pembunuhan di Afrika Selatan dan perang di beberapa negeri Amerika Latin.

Bayangkanlah kekejaman dalam tiap perang tersebut dan apa yang dialami oleh rakyat – orang-orang tua, ibu-ibu dan anak-anak yang tak berdosa di samping kehancuran dan kemusnahan yang ditimbulkannya.

Demikianlah apabila sahabat karib saya, Sdr. Yap Sin Tian (dikenal juga dengan nama Yassin Tani) meminta supaya saya menulis sedikit kata pengantar untuk naskhah terjemahannya mengenai perang iaitu Seni Ketenteraan, saya menolaknya secara spontan tanpa membaca naskhah terjemahannya.

Dunia yang kita hadapi sekarang ini begitu kejam dan menakutkan. Empat puluh tahun dahulu kita menganggap bom atom yang memusnahkan Hiroshima dan Nagasaki, yang membunuh manusia dengan cara yang dahsyat, manakala yang hidup pula terseksa dengan kecacatan anggota yang menggerunkan, dan keadaan alam persekitarannya menjadi begitu rupa sehingga ada yang menganggapnya sebagai suatu neraka dunia.

Sekarang ini bom atom yang kita anggap pencipta neraka dunia itu sudah ketinggalan zaman. Perlumbaan persenjataan oleh kuasa-kuasa besar yang bongkak dan tamak kepada kuasa dan pengaruh telah menghasilkan senjata-senjata nuklear yang beratus kali ganda lebih hebat dan dahsyat kesannya dibandingkan dengan bom atom empat puluh tahun dahulu.

Apabila saya menyatakan rasa benci kepada perkataan ‘peperangan’ bukanlah bererti bahawa saya seorang pemimpin yang naïf. Saya tidak menolak kewujudan dan kepentingan peperangan kerana manusia adalah makhluk yang mempunyai sifat-sifat kehaiwanan yang keji di samping sifat-sifat kemanusiaan yang terpuji. Tidak ada insan kamil atau manusia sempurna kerana manusia bukan malaikat.

Persengketaan dan perbalahan tetap ada, pertentangan dan peperangan tetap terjadi di kalangan manusia. Malah, nabi Muhammad s.a.w sendiri melakukan peperangan kerana ada peperangan yang merupakan mendung yang akan membersihkan langit setelah hujan turun.

Ada dua jenis peperangan dan perlawanan yang sering berlaku dalam kehidupan manusia. Jenis pertama, ialah peperangan untuk menjajah dan menakluki kerana didorong oleh sifat tamak kepada kekuasaan dan pengaruh serta kesombongan yang memandang rendah dan hina kepada bangsa atau negara lain.
Jenis kedua, ialah peperangan dan perlawanan untuk melawan ketamakan, untuk menentang kekejaman, untuk mendapatkan keadilan, untuk kemanusiaan dan maruh kemerdekaan. Maka jenis peperangan yang kedua ini adalah patut dan sah kerana ia mempunyai alasan moral yang membenarkannya.

Yap Sin Tian meminta supaya saya membaca dulu naskhah Seni Ketenteraan yang diterjemahkannya dan terserahlah kepada saya sama ada sanggup atau tidak menulis sebuah pengantar ringkasnya.

Selesai membaca naskhah tersebut fikiran saya merenung ke kejauhan, cuba menembusi zaman silam, suatu zaman yang tak tercapai oleh daya khayalan saya, zaman sekitar Sebelum Masihi 475, atau kira-kira hampir 2,500 tahun yang lalu.
Pada waktu itulah hidupnya seorang pemikir agung, seorang, seorang yang amat bijaksana dengan ketinggian ilmu dan falsafah yang sehingga zaman kita hari ini sukar idcari tandingannya. Itulah Sun Zi, anugerah sejarah kepada rakyat China turun-temurun.

Saya cuba merasakan kelembutan nilai-nilai kemanusiaannya yang agung dan sinar cinta damai yang murni dalam hati dan pemikiran Sun Zi yang mengajarkan kepada kita bahawa seorang wira dalam perjuangan atau peperangan ialah seorang yang berperikemanusiaan, yang bermoral atau berbudi pekerti tinggi, seorang yang mempunyai pendirian, seorang pemikir dan perancang bagi memenangkan perjuangan atau peperangan tanpa menumpahkan darah.

Jelaslah, wira bagi Sun Zi bukanlah seorang ‘Rambo’ atau seorang Hitler.

Memang aneh, bahawa dalam sebuah buku yang memperkatakan tentang siasat perang, kita menemui cinta kemanusiaan yang menegaskan bahawa kedamaian jauh lebih penting daripada peperangan. Sun Zi ternyata menentang peperangan, “Kecuali jika keadaan menjadi begitu genting sehingga peperangan tidak dapat dielakkan lagi,” katanya.

Sun Zi menyeru para pemimpin negara supaya jangan melancarkan peperangan hanya kerana rasa marah yang menyala di hati. Beliau mengingatkan para jeneral supaya jangan merancangkan peperangan hanya kerana perasaan dendam yang terbuku di jantungnya.
Kerana, jelasnya, rasa marah boleh hilang dan bertukar kepada rasa riang. Rasa dendam boleh padam dan bertukar kepada kemaafan. Tetapi nyawa yang terkorban dalam peperangan yang akan bernafas lagi, kematian dan kehilangan jiwa tidak akan dapat dihidupkan dan dikembalikan semula.

Pemikir agung ini sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat lebih daripada segalanya. Maka itu, katanya, pertimbangan perang mestilah menyelidiki dengan rapi dan teliti dan mengambil kira nasib dan nyawa rakyat yang pasti akan terlibat dengan peperangan tersebut. Bagi Sun Zi alasan moral untuk berperang merupakan perkara penting. Ia mestilah berdasarkan suatu perjuangan yang diterima kebenarannya oleh rakyat.

Kita seharusnya menghargai dan menyematkan ucapan tahniah kepada Yap Sin Tian yang berusaha untuk menterjemahkan karya penting tersebut yang bererti menyebarkan pemikiran dan pandangan hidup yang berharga ini kepada masyarakat Malaysia melalui bahasa kebangsaan kita. Yap Sin Tian bukan sahaja telah banyak menyumbangkan tenaganya untuk usaha terjemahan tetapi juga banyak menulis dalam bahasa Melayu.

Saya ingin mengulangi apa yang pernah saya tulis dan ucapkan bahawa kita rakyat Malaysia yang terdiri dari berbilang keturunan bukanlah suatu kelemahan, tetapi sebaliknya menjadikannya suatu kekuatan dan kelebihan. Kita telah mewarisi kekayaan kepelbagaian kebudayaan, ilmu pengetahuan dan falsafah nenek moyang kita sejak zaman berzaman.
Kebijaksanaan kitalah untuk menilai kemuliaan budi, menghargai toleransi, mewujudkan keadilan dan hak yang sama tanpa mengira keturunan bangsa, kepercayaan dan warna kulit.

Usman Awang,
Petaling Jaya,
12 Julai 1986.

--- TAMAT ---


Sekian, panjang betul pandangan Usman Awang. Tapi, kita kenalah membacanya hingga habis jika kita serius mencari kebenaran. Saya berehat sekejap untuk menyediakan juadah berbuka di samping menonton Jejak Rasul.

Oh ya, apa yang kita berbualkan semalam ada disentuh dalam Jejak Rasul kali ini. Rupa-rupanya bukan Jabal Thur, tapi Jabal Nur, tempat Nabi Muhammad s.a.w berkhalwat atau bertahalus (entah betul atau tidak ejaan ini). Menurut dokumentari itu, amalan ini adalah warisan Nabi Ibrahim a.s juga.

Tapi, dalam sebuah filem Inggeris yang mengisahkan perjalanan hidup Jesus Christ (Nabi Isa a.s), ada disebutkan sifat bahawa sosok mulia itu juga seringkali naik ke sebuah bukit. Mungkinkah Nabi Isa a.s juga mengikut amalan bertahalus Nabi Ibrahim?

Luas betul ilmu Allah. Semakin direnung dan dikaji, makin bodoh diri ini. Menebal minat saya dalam ilmu sejarah ini. Apatah lagi, jika penemuan baru itu dapat membatalkan apa-apa paradigma lama yang tersebar dalam masyarakat. Jika tuan ada geran penyelidikan di JPM, berilah kepada saya dan rerakan yang makan sepinggan dan minum secawan itu.

Oh, Dato’ Hassan Din al-Hafiz baru saja menyebutkan di dalam JR, bahawa fenomena itu dikenali sebagai ‘namus’ (mungkin istilah Ibrani). ‘Namus’, kata beliau, adalah fenomena yang pernah berlaku ke atas Nabi Musa a.s. Saya menduga, bahawa itulah wahyu pertama yang jatuh ke atas sosok Musa a.s saat beliau berjumpa Tuhan di Bukit Thursina.

‘Sinar’ yang terpancar di puncak bukit itu mengarahkan Musa agar menanggalkan kedua-dua sepatunya. Mungkinkah sifat ini wujud pada semua nabi dan rasul ini? Mereka gemar berkhalwat di puncak pergunungan.

Nanti, dalam kembara ilmiah darihal tatacara peperangan Sun Zi, tuan juga akan berhasil menemukan kepentingan gunung-ganang sebagai tempat strategik dalam peperangan. Oh, azan Maghrib baru saja berkumandang di udara. Gendang-gendut tali kecapi, kenyanglah perut sukalah hati, izinkan saya mengundur diri, kerana saya mahu berbuka sekarang ini.

Maaf di atas kebodohan diri ini dalam menyusun kalam bicara. Segala yang baik daripada Gusti Alloh. Yang buruk, bebal, ahmak dan dungu itu terbit daripada kebodohan sang H. Fansuri sendiri.

Sekian, wassalam …


Ibnuamir al-Pendangi,
Sekolah Pemikiran Kg. Baru,
7:16 petang, 5 Ramadhan 1427.

0 Responses to “”

Post a Comment


© 2006 Sanggar Pendeta, Langgar Pujangga | Blogger Templates by GeckoandFly.
No part of the content or the blog may be reproduced without prior written permission.
Learn how to make money online | First Aid and Health Information at Medical Health