Sanggar Pendeta, Langgar Pujangga

"Diabadikan buat seorang Perani, gadis Temasek (mungkin berketurunan Bugis). Gadis yang merayau-rayau di pulau Singa itu berjiwa singa dan berani mengaumkan suaranya, mencabar ego setiap kaum laki-laki yang seharian resah mengusung derita ke hulu ke hilir tanpa hentinya." --- H Fansuri, (1977 - 20??) - ibnuamir@yahoo.com.


Monolog panjang, sepetang di Kelang (Darihal kelemahan Pak Lah, Najib)

H Fansuri

''Kamu tahu kenapa keburukan masih berlaku?'' seorang makcik usianya sekitar 40-an bertanya. Petang itu, di bandar Kelang di Restoren Bismillah, berdekatan Stesen Komuter bandar itu, kerana mahu mengambil angin petang.



Pertanyaan semacam itu, pastinya mengundang pelbagai jawapan. Bergantung kepada latarbelakang pendidikan dan latarbelakang parti. Jika jiwa kepartian kita kuat, kita akan berkata, ''Umno yang wujudkan segala rupa paras kejahatan, nak buat macam mana?''

''Sebenarnya, ustaz-ustaz kita yang bersalah,'' kata makcik itu. ''Mereka tidak mencegah betul-betul kejahatan ini.'' Saya mulanya tak bersetuju. Jadi sang penguasa yang hadirkan segala macam rupa paras kejahatan ini tak bersalahkah?

Ustaz-ustaz kita dah jadi jagoan politik sampai dapat anugerah daripada pihak istana. Tak kan mereka tiada jasa kot? Lagi kan Shah Rukh Khan yang bergambar di A Famosa tidak sampai seminit, boleh meraih pangkat Dato', inikan pula ustaz-ustaz yang banyak jasanya itu? Tak kan pihak istana silap buat perhitungan?

Sean Connery dan Catherine Zeta-Jones yang berlakon melalui filem The Entrapment di TV2 baru-baru ini mengingatkan saya juga, kenapakah pelakon Hollywood yang terkenal ini tidak diberikan gelaran Dato' setelah bergayut di KLCC, Petronas Towers, KL.

Selesai habis melakukan aksi bergayut di atas KLCC, Sean Connery berkata kepada Puan Catherine Zeta-Jones, ''Err.. esok saya jumpa awak di Stesen Pudu, jam 6:30 pagi.''

Wah! Bangganya rakyat Malaysia. Pudu? Ke budu? Macam sama saja sebutannya.

Hairan juga. Jam 6:30 pagi, dah pun terang benderang di Stesen Pudu itu ketika Catherine sedang menantikan ketibaan Sean Connery. Tempat di Malaysia, tapi jam 6:30 pagi cuma di belahan dunia Barat seperti Amerika saja yang terang benderang rasanya.

Saya sebagai rakyat Malaysia berasa amat berbangga apabila Sean Connery menyebutkan kalimah 'Pudu'. Tak apalah.. lain kali kita ajak dan ajar mereka makan budu di Kelantan pula. Rakan Tunisia saya beritahu, ada papan tanda 'Keluar' dalam filem tersebut.

Rakan saya, Malek Kazdaghli namanya. Dia menyapa saya di Kinokuniya, KLCC tatkala mahu memilih buku Malay Dilemma. Bangga betul dia dengan KLCC. Namun, akhir-akhir ini dia mendengar cerita yang tidak elok pula mengenai negara kita.

''Saya jumpa sebuah laman web. Kata mereka, kalau tinggal lama-lama di Malaysia atau kalau kita pergi ke negeri-negeri Pantai Timur, pembangunannya tidak seimbang.. betul?'' tanya beliau.

Seorang jurutera di Bursa Saham di negaranya sepertinya, barangkali cukup dahagakan maklumat berhubung negera Islam seperti Malaysia. Soalannya itu tidak saya jawab. Dia perlu datang dan lihat sendiri.

Usianya sekitar 20-an. Ketika berbual dengannya di YM, dia sedang nantikan kelahiran anak sulungnya. Maka di dalam bualan maya itu dinyatakan bangganya dengan Malaysia, khasnya ketika merujuk filem lakonan Sean Connery dan Catherine Zeta-Jones!

Saya rasa terharu. Beliau mengkaji segala sudut dalam filem itu untuk mencari perkataan Melayu dan ungkapan yang ditulis dalam bahasa Malaysia dalam The Entrapment!

Jadi, Jackie Chan pelakon Hong Kong dalam Police Story yang mana penggambarannya juga diadakan di KL patut diberi anugerah juga. Apa perasaan pelakon Barat, Hong Kong jika mereka tahu Shah Rukh Khan dapat gelaran Dato'. Police Story dan The Entrapment pun buat penggambaran di KL juga.

Malaysia kena jaga semua perasaan itu. Jaga perasaan Aamir Khan, keturunan Monggolia daripada jurai keturunan Gengghiz Khan dan rakyat Monggolia yang tiada Khan seperti Altantuya. Itu belum masuk perhitungan untuk jaga perasaan Nasir Bilal Khan, termasuk para pelakon Malaysia lain yang berdendam dalam diam terhadap Ali Rustam.

Dato' Wira Ali Rustam tak terfikirkah nak jaga hati Sean Sonnery, Catherine Zeta-Jones, Jackie Chan dan lain-lainnya yang telah lonjakkan nama Malaysia menerusi filem?

Bak kata pepatah pasca moderen, ''Filem kita wajah kita, atau filem kita citra kita.'' Walau pun perbuatan menunggu di stesen Pudu jam 6:30 pagi yang terang benderang bukan satu wajah citra kita, tapi tak apa. Terima jugalah, sebab mereka berjasa kepada negara.

Hati dan perasaan rakyat tak payahlah dijaga sangat. Mereka orang bawahan. Tak apalah. Lima tahun sekali jagalah tatkala hampir pilihan raya umum nanti, atau jika ada kematian ahli Parlimen seperti di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Mengelamun panjang Ingatan saya cepat menghilang akibat disembur pertanyaan berulangkali daripada makcik itu, ''Heh! Dah sampai ke London ker?'' tanya makcik ketika dilihatnya saya mengelamun cukup panjang. Teh dan karipap, vadey di restoren mamak berselang-seli menjadi bahan kunyahan mulut ini, sehingga terlupa mahu menjawab soalan tadi.

Terlupa nak ulas lanjut pertanyaan makcik tadi yang bermartabat falsafah. Kenapa insan-insan hari ini berkelakuan biadap dan semakin menuju kemusnahan. Di dalam terkial-kial mencari jawapan, lalu saya pun berkata..

''Banyak sangat media pengaruhi anak-anak muda kot?'' kata saya. Memanglah pengamal media kerap dipersalahkan. Banyaklah program tv yang mengarut serta kurang membina. Pertandingan Ratu Cantik, Miss Universe, Grammy Award jangan cakaplah. Terdedah di sana-sini, bonjol sana-sini. Yang nampak santun dan bersopan pun Gadis Melayu.

''Hmm..Gadis Melayu. Kira ok lah tu,'' kata seorang teman. Dia lelaki lajang (bujang) dan kerap mengisytiharkan dirinya sebagai teruna sunti. Baginya program itu amat membantu beliau dalam membuat pilihan calon-calon yang sesuai untuk dijadikan suri rumah.

Saya teringat rakan saya itu yang suka menonton iklan produk Silky Girl yang berharga RM1.99 itu. Dia lelaki dan bukan dia nak beli produk itu melainkan kerana asyik melihat gadis-gadis muda yang cantik itu berkemban dalam iklan tersebut.

''Tak pa selagi golongan feminis, Sisters In Islam dan muslimat tak bantah iklan tu, selagi tu lah kita boleh tengok,'' katanya lagi. Pelik, dia menunggu orang bantah. Kenapa dia tak bantah sendiri? Kenapa harus dia tunggu SIS, muslimat, golongan feminis bantah?

''Dah aku syok tengok iklan tu..aku laki..so what?'' ketika dia dah mula 'speaking' berabuk ala Mat Saleh, saya malas melanjutkan debat pertengkaran.

''Tetapi, kalaulah SIS, muslimat dan gerakan feminis dan bantah iklan tu sampaikan iklan Silky Girl tu tercabut keluar daripada tv, takkan aku nak bantah depa pulak. Malu la aku,'' kata saudara saya itu lagi. Tahu juga dia malu. Malu separuh keimanan. Ertinya dia masih ada iman. Cuma, iman seseorang itu berbeza-beza. Sama juga halnya dengan taqwa.

Orang yang bertaqwa sudah tentu dia beriman. Tapi orang beriman belum tentu mencapai darjat dan makam ketaqwaan. Ah! Falsafah lagi. Lagi-lagi falsafah.. membosankan.

Persekitaran negatif kerana orang baik tidak mencegahnya ''Orang-orang yang baik tidak memainkan peranan, itu sebabnya manusia rosak,'' tambah makcik itu. Ish..saya masih tidak berpuas hati. Maka, petang itu saya pulang dengan suatu perasaan yang masih bergelora. Dalam perjalanan pulang ke KL Sentral menaiki komuter dari Kelang, hati, jiwa dan akal saya masih tak dapat menerima pandangan itu.

Hari demi hari berlalu, dan saya mula menerima pelajaran baru. Di internet saya terjumpa satu kalimah bijaksana yang seperti mengesahkan perkataan makcik itu.

Kalau tak salah saya, ini ungkapan pepatah hikmah Albert Einstein atau mungkin sarjana Barat yang lainnya, ''Keburukan itu terjadi bukan disebabkan ramainya orang-orang jahat, tapi disebabkan orang-orang yang baik tidak berjuang membuang keburukan itu.''

Hikmah di atas itu rekaan saya sendiri, tapi maknanya tetap sama dengan Albert Einstein, dan sama dengan fikiran makcik, teman saya berbual di bandar Kelang tempoh hari.

Lalu saya terkenangkan OIC, Liga Arab dan kedudukan Malaysia yang sering dilihat oleh warga Arab Tunisia (teman saya itu) dan lain-lainnya sebagai negara baik, contoh terbaik. Jadi, Abdullah dan Najib tentulah orang-orang baik juga.

Jangan marah kalau saya kata Abdullah dan Najib orang baik. Mereka baik apa kalau nak dibandingkan dengan Amerika, Israel? Tak setuju? Dengan sebab kapal selam Scorpene, baru seorang sahaja wanita Mongolia yang terbunuh dengan letupan bom C4. Nun jauh di sana, Amerika dan Israel dan bunuh berapa ribu Muslimin di Gaza, Palestin?

Saya pun belajar ayat begini daripada Abdullah dan Najib juga. Apabila ditanya tentang indeks rasuah dan apa sahaja isu-isu gelap dalam Parlimen, mereka akan berkata..

''Tahap indeks rasuah kita masih baik berbanding Senegal, India dan lain-lain negara,'' itu cara menjawab mereka. Tak salahkan kita kata Abdullah dan Najib lebih baik dari Israel dan Amerika walaupun Altantuya terbunuh dan tahanan ISA masih tiada pembelaan?

Jenayah perang Israel berlaku kerana Pak Lah, Najib tidak bertindak
Tak apa, yang itu satu hal lain. Ini pula suatu pertanyaan yang terkait dengan cara berfikir Albert Einstein dan makcik di Kelang itu.

Marilah untuk sesekali kita beri pengiktirafan kepada Abdullah dan Najib sebagai insan-insan terbaik berbanding Amerika dan Israel. Mesti mereka berbangga dengan pengiktirafan sebegini. Ingat senangkah Harakah mahu iktiraf Pak Lah dan Najib sebagai insan kamil wal mutakammil. Susah oo..

Biarlah kita namakan Abdullah, Najib sebagai 'wira', dan Israel serta sekutunya Amerika sebagai penjahat teragung abad ini. Baik, sekarang kita harus bertanya dengan jujur untuk diri kita sendiri. Soalan pertama, adakah Abdullah dan Najib sebagai 'orang baik' benar-benar ingin membatalkan kemungkaran dan memusnahkan jenayah Amerika, Israel?

Kembali kita kepada pandangan Einstein dan makcik di Kelang tadi, iaitu kejahatan hadir kerana orang-orang yang baik tidak berbuat apa-apa ketika melihat kemungkaran tersebut wujud di depan mereka.

Perhatikan pemikiran Najib, ''Selagi kuasa-kuasa besar tidak campurtangan dalam urusan pertikaian Israel dan Palestin, maka selagi itulah masalah ini tidak selesai.''

Soalan.. adakah Najib bertindak? Tidak bukan? Dia sendiri bertawakal dan berharap pada kuasa besar. Semaklah juga ucapan Pak Lah di Parlimen dalam usul mengecam serangan Zionis Israel. Adakah beliau kata-kata ini terzahir dalam bentuk ingin bertindak?

Kata-kata Abdullah di Parlimen, sifar daripada usaha menubuhkan tentera pengaman OIC sebagai yang disarankan oleh Zahid Hamidi dan tiada pula kesan menunjukkan Malaysia mahu memulaukan Dollar Amerika sebagai yang disarankan oleh Tun Dr Mahathir.

Saya ingin berterus-terang sahaja walaupun saya tahu ramai orang tidak bersetuju dengan pandangan saya ini. Amerika dan Israel memang jahat dan kita tidak boleh mengubah apa-apa berhubung sifat kejahatan itu.

Tetapi, apabila umat Islam hari ini rosak kerana dibunuh oleh Yahudi Zionis, maka Najib dan Abdullah itulah antara punca dan angkaranya. Kalau mereka kuat jiwa dan tidak lemah fikirannya, nescaya umat Islam tidak menderita seperti hari ini.

Berhenti menyalahkan Israel dan Amerika buat seketika. Banyakkan menyalahkan Najib dan Abdullah kerana mereka tak berani berbuat apa-apa bagi membalas kekejaman rejim Zionis Israel tersebut.

Pandangan ini tercetak, hasil daripada pandangan Einstein dan makcik Kelang yang telah meriwayatkan perkataan, ''Kejahatan berlaku bukan kerana ramainya orang jahat, tapi ada orang yang baik dan mereka tidak berbuat apa-apa untuk mencegah kejahatan itu.''

Ini kerana, Abdullah dan Najib itu sedang gembira kerana mereka diangkat sebagai 'wira' Dunia Islam buat seketika setelah berhasil mendapat sokongan dengan tiba-tiba di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Ringkasnya untuk insan seperti saya, saya akan banyak menyalahkan Najib dan Abdullah sebanyak 70 peratus kerana mereka takut membuat tindakan drastik. Dan, baki 30 peratus kemarahan itu saya humbankan ke atas Amerika dan Israel.

Begitulah bahan fikiran dan pendirian yang tercetak di fikiran saya sekarang ini, di mana saya menemuinya ini di Kelang daripada seorang makcik dan selanjutnya saya lanjutkan perguruan falsafah ini daripada madrasah pemikiran 'Maulana' Einstein pula.

3:26 a.m, 14 Januari Sekolah Pemikiran Kg Baru

http://wakayat.blogspot.com

Pandangan, bantahan, cadangan boleh dimajukan lewat mel-e ibnuamir@yahoo.com.

http://anakchampa.blogspot.com
http://bmppsmi.blogspot.com

0 Responses to “”

Post a Comment


© 2006 Sanggar Pendeta, Langgar Pujangga | Blogger Templates by GeckoandFly.
No part of the content or the blog may be reproduced without prior written permission.
Learn how to make money online | First Aid and Health Information at Medical Health